Golongan muda mahu Menu Rahmah diteruskan
IPOH - Inisiatif Menu Rahmah yang diperkenalkan kerajaan bagi membantu golongan berpendapatan rendah membeli makanan pada harga kurang RM5 wajar diteruskan selain memperkenalkan inisiatif baharu mengurangkan beban rakyat.
Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), Sharifah Shazfika Syed Mohamed Rahim, 21, berkata, Menu Rahmah terbukti dapat memberi pilihan kepada pelajar untuk berjimat memandangkan kos sara hidup di setiap negeri berbeza, paling tinggi tentulah di bandar raya seperti Kuala Lumpur dan Shah Alam.
Menurutnya, bukan semua pelajar tinggal di kampus kerana sebahagian terpaksa menyewa di luar kampus yang pastinya memerlukan kos tambahan untuk menyewa bilik dan keperluan lain.
“Cuma kalau dapat diteruskan dalam Belanjawan 2024, saya harap kualiti dan kuantiti makanan tersebut dapat dipertingkatkan. Biarlah makan dihidangkan itu sempurna biarpun harganya rendah kerana makanan yang berkualiti juga penting untuk para pelajar,” katanya kepada Sinar Harian.
Pekerja ladang, Muhammad Taufiq Ahmad, 21, pula berkata, Menu Rahmah itu wajar diteruskan kerana membantu golongan muda terutama orang bujang untuk menjimatkan perbelanjaan.
Menurutnya, walaupun sesekali membeli, ia tetap memberikan penjimatan terutama kepada mereka yang berjauhan dengan keluarga.
“Mungkin Menu Rahmah ini boleh diberikan penambahbaikan dari segi kualiti makanan tersebut. Harga murah tidak semestinya kena buat tak sedap tapi semua itu bergantung kepada peniaga,” ujarnya.
Menurutnya, bantuan lain juga wajar dipertimbangkan kepada golongan berpendapatan rendah selain memberikan subsidi atau insentif kepada peniaga yang memperkenalkan Menu Rahmah.
Bagi Nurul Azmi Mohamed Daud, 38, Menu Rahmah merupakan inisiatif yang baik, namun tidak semua mampu terutama mereka yang mempunyai anak ramai.
Menurutnya, wajarlah jika inisiatif lain diperkenalkan bagi membantu mengurangkan beban golongan berkeluarga kerana kos untuk makan di luar lebih mahal.
“Kerajaan mungkin perlu memikirkan semula Menu Rahmah ini dengan memperkenalkan sesuatu inisiatif baharu yang benar-benar dapat meringankan beban keseluruhan rakyat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!