'Saya tidak tahu isteri, dua anak masih hidup atau terkorban'
KUALA NERUS - [DIKEMAS KINI] Seorang warga Palestin yang baru menamatkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini terputus hubungan dengan keluarganya di Gaza sejak tiga hari lalu.
Emad Saleem, 41, berkata, setakat ini isterinya, Mariam Mohamed, 34, serta dua anak lelakinya iaitu Saleem Emad Saleem, 12, dan Kareem Emad Saleem, 10, tidak dapat dihubungi menyebabkan dia tidak mengetahui sama ada mereka masih hidup atau terkorban dalam peperangan itu.
Menurutnya, situasi itu berlaku susulan tindakan Israel melakukan kepungan menyeluruh ke atas penduduk Gaza termasuk memutuskan bekalan elektrik, makanan dan air di kawasan berkenaan.
"Ini saat paling sukar buat saya. Saya tak dapat sebarang khabar berita. Kali terakhir saya bercakap dengan anak lelaki saya tiga hari lepas. Waktu tu dia beritahu saya serangan di situ terlalu dahsyat dan mereka boleh mati bila-bila masa sahaja.
"Dia juga meminta supaya saya segera pulang dan dapat membawa mereka keluar dari kawasan bergolak itu," katanya ketika ditemui pemberita pada Himpunan Solidariti bersama Palestin @UniSZA di pekarangan Pusat Aktiviti Pelajar di sini, petang Khamis.
Emad yang menamatkan pengajian dalam jurusan Perakaunan dan Kewangan awal Oktober lalu berkata, konflik yang berlaku di Palestin kali ini tidak diduga dan memberi kesan mendalam buat dirinya.
"Saya kini terkandas, tidak dapat berbuat apa-apa. Perasaan saya meronta untuk segera pulang ke sana dan membawa mereka keluar dari kawasan itu.
"Entahkan hidup entahkan mati. Semua perhubungan terputus. Lebih memilukan apabila saya menerima berita sekurang-kurangnya 10 saudara mara saya telah terkorban dalam peperangan kali ini.
"Saya harap peperangan ini segera berakhir agar saya dapat kembali semula kepangkuan keluarga saya sekiranya mereka masih ada," ujarnya sayu.
Menurut Emad, isterinya yang bekerja sebagai guru bersama dua anak dan ibunya tinggal bersama-sama dalam sebuah bangunan di Gaza.
"Sebelum ibu saya telah kehilangan ayah, kakak dan abang saya. Namun semangat dia masih kuat walaupun tentera Israel pernah melakukan serangan (bom) berdekatan kediaman kami.
"Ibu saya berdepan saat sukar di sana. Dengan pelbagai kekangan kesan dari peperangan yang berlaku. Syukurlah, walau dalam keadaan getir itu dia tidak pernah ketinggalan khatam al-Quran setiap minggu malah dalam sehari dia membaca sekurang-kurangnya empat juzuk al-Quran," luah Emad yang merupakan anak bongsu dari lima beradik.
Sementara itu, Ketua Projek Himpunan Solidariti bersama Palestin @UniSZA, Muhammad Aliff Muqri Kamal berkata, seramai 300 peserta menghadiri himpunan yang diadakan itu.
Menurutnya, program itu dianjurkan bagi menyatakan pendirian dan sokongan golongan mahasiswa terhadap mujahidin di Palestin serta saudara Islam di negara itu yang kini ditindas.
"Program hari ini mendapat penyertaan mahasiswa dari kesemua 11 buah fakulti pengajian di UniSZA, tidak mengira bangsa dan agama serta warna kulit.
"Isu yang berlaku di Palestin ini lebih daripada apa yang kita bayangkan. Bukan hanya melibatkan soal agama malah melibatkan nilai kemanusiaan dan keadilan yang terus dinafikan terhadap mereka sejak sekian lama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!