PKS bekalkan bantuan air kecemasan
KUALA LUMPUR - Penduduk yang terlibat dengan gangguan bekalan air ekoran Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas, dinasihatkan mendapatkan bantuan air kecemasan di Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang telah dibuka jam 6 petang tadi.
Pengurusan Air Selangor Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia bagi mengelakkan penduduk yang berada di kawasan gangguan bekalan air berkenaan, iaitu di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang serta sebahagian kawasan Putrajaya, lewat menerima bekalan air melalui lori tangki.
“Bantuan bekalan air kecemasan sedang giat digerakkan kepada pengguna terlibat menerusi lori-lori tangki, dengan keutamaan diberikan kepada pengguna dan premis kritikal serta kecemasan termasuk hospital,” menurut kenyataan itu.
Senarai lokasi PKS dan pili-pili awam itu adalah PKS Kolam Sedut Pinggiran Putra, Seri Kembangan; PKS Taman Wawasan, Puchong; PKS Pusat Perdagangan Seri Kembangan, Jalan PSK9; PSK USJ 4, Jalan USJ4/5, Subang Jaya; Parking Masjid Puchong Perdana dan USJ 3A/1 untuk kawasan Petaling.
ARTIKEL BERKAITAN: Sungai Semenyih tercemar: 328, 957 akaun alami gangguan bekalan air
Di Kuala Langat, PKS terlibat adalah di Jalan Gangsa, Kawasan Perindustrian Telok Panglima Garang, manakala di Sepang adalah di PKS Masjid Putra Perdana, Puchong; PKS Putrajaya Sentral Presint 7; Pekan Salak dan Pasar Pekan Dengkil.
Di Hulu Langat, PKS terlibat adalah di berdekatan Flat Seksyen 4, Persiaran Pekeliling, Seksyen 4 Bandar Baru Bangi; hadapan Pustaka Rakyat Bandar Puteri, Bukit Mahkota; berhadapan Kedai Nasi Kukus To'we, Jalan Kesuma 3/1, Bandar Tasik Kesuma, Beranang; Jalan 4/12 Sek 4 Tambahan Bandar Baru Bangi, dan Jalan 1/1 Sek 1 Bandar Baru Bangi.
Kenyataan itu memaklumkan pihak Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari masa ke semasa, menerusi semua medium khususnya media massa.
"Orang ramai diminta merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor, Facebook dan Instagram Air Selangor, atau laman sesawang kami www.airselangor.com untuk maklumat yang akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.
Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya hari ini ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih, yang dipercayai berpunca daripada Loji Rawatan Kumbahan (LRK) Indah Water Konsortium Bukit Mahkota.
Tindakan untuk mengatasi masalah itu kini giat dilakukan pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dengan kaedah pendosan ‘activated carbon’ (AC). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!