Kakak rayu bantu cari adik OKU hilang
JOHOR BAHRU - Seorang suri rumah meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan adik lelakinya berstatus orang kurang upaya (OKU) yang hilang selepas keluar dari kediaman mereka di Felda Sungai Tiram di sini sejak Jumaat lalu.
Syarifah Masnan, 30, berkata, adiknya, Salman Syah, 25, keluar dari rumah mereka pada jam 6 petang tanpa pengetahuan ahli keluarganya.
Dia berkata, keluarganya sehingga kini masih gagal mengesan anak keempat daripada tujuh beradik itu.
"Hari ini genap seminggu Salman keluar rumah, kami bimbang dengan keselamatannya kerana sejak kecil dia sering diserang sawan hampir setiap minggu dan masih bergantung kepada ubat.
"Dia keluar rumah ketika ibu kami sedang bersembahyang, kebetulan ketika itu ahli keluarga lain juga tiada di rumah kerana berurusan di luar," katanya ketika ditemui pemberita pada Jumaat.
Menurut Syarifah, ahli keluarganya sudah mencari Salman di sekitar kawasan Ulu Tiram selain bertanyakan kepada penduduk namun hampa.
Katanya, Salman juga tidak memiliki telefon bimbit untuk dihubungi dan pada hari kejadian memakai baju bewarna gelap serta seluar coklat.
Kata Syarifah lagi, Salman sebelum ini kerap keluar rumah namun akan pulang semula.
"Pertuturan Salman kurang jelas dan dia juga mudah lupa kerana mengalami masalah sawan sejak kecil. Sudah tujuh hari dia tidak makan ubat, kami semakin bimbang memikirkan keselamatannya," ujarnya.
Bimbang dengan keadaan Salman katanya, keluarganya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini Jumaat lalu.
Keluarganya berharap orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan Salman menghubungi talian 019-6378854 atau balai polis berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!