Kakitangan kolej vokasional didakwa kes seksual 5 remaja lelaki
PUTRAJAYA - Seorang pembantu operasi sebuah kolej vokasional mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas tujuh tuduhan melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh kemaluan lima remaja lelaki, tahun lalu.
Lelaki berusia 44 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan di baca di hadapan Hakim, Datin M Kunasundary.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual terhadap remaja berusia 16 dan 17 tahun dengan menyentuh kemaluan mangsa bagi tujuan seksual, di kolej terbabit antara Februari 2022 hingga September lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang membawa kepada hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Faraheen Yahya mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM60,000 bagi semua pertuduhan.
"Pihak pendakwaan turut mencadangkan tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu semua mangsa,” katanya.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Nasrul Hadi Mat Saad merayu agar kadar ikat jamin itu dikurangkan kerana anak guamnya perlu menanggung keluarga.
“Gajinya tidak tinggi malah dia tidak mempunyai sumber pendapatan lain,” katanya.
Kunasundary membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi semua pertuduhan dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 21 Disember depan untuk sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!