[VIDEO] Kontraktor dipenjara 7 hari gagal kemuka penyata pendapatan
SEREMBAN - Seorang kontraktor dihukum penjara tujuh hari, didenda RM25,000 dan dikenakan penalti khas berjumlah RM498,810.56 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan gagal mengemukakan penyata pendapatan dalam borang B membabitkan nilai cukai pendapatan sebanyak RM124,702.64.
Majistret Noorhafizah Ishak menjatuhkan hukuman itu terhadap Chong Sing Chai, 69, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan jurubahasa.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara tambahan enam bulan jika gagal menjelaskan denda terbabit.
Mengikut pertuduhan, warga emas berkenaan gagal mengemukakan penyata pendapatan dalam Borang B bagi tahun taksiran 2017 hingga 2021 pada atau sebelum 30 Jun pada tahun berikutnya kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri dengan tiada sebab munasabah yang membabitkan pendapatan bercukai berjumlah RM781,637.
Berikutan itu orang kena saman(OKS) terbabit telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 112( I A) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama.
OKS dalam rayuannya memohon maaf kerana gagal membayar cukai dan memaklumkan ia merupakan kesalahan pertama kali dilakukannya.
Menurutnya, dia tidak mampu membayar cukai LHDN tersebut kerana nilainya terlalu tinggi ditambah pula dengan usianya yang sudah tua.
"Saya mohon dapat pertimbangan keadaan saya dan kurangkan penalti dikenakan," katanya.
Pegawai Pendakwa Lembaga Hasil Dalam Negeri(LHDN), Muhammad Afiq Ahmad Tajuddin mohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap OKS kerana melakukan kesalahan berulang dengan gagal mengemukakan borang tafsiran B selama lima tahun.
Ujarnya, kesalaahan dilakukan OKS juga disifatkan sebagai berat dan serius kerana ada unsur mengelak membayar cukai.
"Hukuman dikenakan harus setimpal dengan kesalahan OKS bagi memberi iktibar kepada masyarakat dan OKS tentang betapa seriusnya menghantar borang tafsiran pendapatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!