Nilai jualan AKR, ABR FAMA Melaka cecah RM13 juta

Hairudin (dua dari kiri) melihat barangan runcit yang terdapat di di Pasar Mini Esah Haniff sempena Pelancaran Program Tanpa Tunai@ABR pada Jumaat.
Hairudin (dua dari kiri) melihat barangan runcit yang terdapat di di Pasar Mini Esah Haniff sempena Pelancaran Program Tanpa Tunai@ABR pada Jumaat.
A
A
A

JASIN - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka menerusi 27 usahawan Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR) dan Agrobazaar Rakyat (ABR) berjaya merekodkan nilai jualan sebanyak RM12,981,00 iaitu melepasi sasaran RM10 juta sehingga akhir September lalu.

Pengarahnya, Hairudin Yunos berkata, daripada jumlah itu enam outlet ABR mencatatkan purata nilai jualan keseluruhan RM394,409 setiap bulan manakala 21 outlet AKR mencatatkan purata nilai sebulan RM1.047 juta.

Menurutnya, jumlah nilai jualan dijangka terus bertambah dalam tempoh tiga bulan ini hingga Disember depan sekali gus berupaya mencapai RM15 juta.

Katanya, meskipun usahawan berdepan dengan pelbagai kos kenaikan barangan dan ekonomi semasa, namun mereka membuktikan mampu menangani cabaran itu hingga berjaya merekodkan nilai jualan memberangsangkan.

"Ini satu pencapaian bagus daripada segi jualan...walaupun ekonomi boleh dikatakan tidak berapa baik tapi mereka dapat meraih RM13 juta nilai keseluruhan bagi 27 outlet.

"Jumlah itu juga lebih baik berbanding tahun lalu dan kita menyasarkan RM8 juta namun turut melepasi sasaran dengan nilai jualan hampir RM10juta bagi tempoh sama tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pelancaran program Tanpa Tunai@ABR di Pasar Mini Esah Haniff di Umbai pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Hairudin berkata, pemilik pasar mini berkenaan merupakan usahawan di bawah bimbingan FAMA yang menjadi perintis bagi menggalakkan pengguna memanfaatkan pembayaran digital biarpun hanya membeli barangan runcit.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, walaupun setakat ini hanya satu daripada 27 outlet sedia ada memperkenalkan pembayaran tanpa tunai, namun yakin jumlah itu akan bertambah dengan menyasarkan kesemua outlet akan menyediakan kemudahan itu pada tahun depan.

"Kita nak usahawan FAMA menuju ke arah digital dan ini dapat membantu usahawan meningkatkan jualan mereka.

"Dalam tempoh tiga bulan hingga hujung tahun ini kita akan melihat perkembangan outlet-outlet lain dan akan bersama mereka membuat persiapan ke arah pembayaran digital pada tahun 2024," katanya.

Dalam pada itu, Hairudin turut memaklumkan setiap pembelian RM50 secara tanpa tunai di setiap outlet ABR akan berpeluang mendapatkan barangan berharga RM15 bagi menarik lebih ramai pelanggan menggunakan pembayaran digital.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!