Enam penagih dicekup dalam Ops Tapis

Dadah dan peralatan menghisap dadah yang dirampas daripada suspek dalam serbuan malam tadi.
Dadah dan peralatan menghisap dadah yang dirampas daripada suspek dalam serbuan malam tadi.
A
A
A

KEPALA BATAS - Enam lelaki berusia 26 hingga 62 tahun ditahan polis dalam serbuan Ops Tapis di sebuah rumah di Kampung Bakau Tua, Penaga di sini malam tadi.

Operasi yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) pada jam 8.30 malam itu hasil risikan dan maklumat awam mengenai kegiatan penyalahgunaan dadah yang dilakukan oleh kumpulan lelaki berkenaan.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemeriksaan dalam rumah berkenaan menemukan 31.5 gram dadah disyaki heroin dan sebanyak 0.5 gram dadah disyaki syabu.

"Hasil siasatan mendapati dadah yang dirampas adalah untuk kegunaan sendiri dan keseluruhannya dianggarkan bernilai RM1,700.

"Saringan ujian air kencing yang dilakukan terhadap kesemua suspek mendapati mereka positif dadah jenis morphine dan methamphetamine," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Noorzainy berkata, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) serta Seksyen 15(1)(a) Akta yang sama.

Beliau berkata, pihak polis akan sentiasa mengambil tindakan serta menjalankan operasi narkotik yang berterusan secara agresif ke atas pengedar dadah di daerah ini.

Katanya, pihaknya turut mengharapkan kerjasama daripada masyarakat untuk membantu polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah ini.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!