Jalan kaki lebih 4 km pindahkan Yob Jagor
GERIK - Anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) terpaksa berjalan kaki lebih empat kilometer (KM) dalam operasi memindahkan seekor gajah liar di Kampung Jagor dekat sini pada Khamis.
Keadaan jalan yang berlumpur dan berbukit menyebabkan kenderaan berat yang digunakan untuk membawa keluar haiwan itu tidak dapat masuk ke kawasan tangkapan.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, kehadiran gajah jantan yang diberi nama Yob Jagor mula dikesan sejak Jun lalu setelah memusnahkan tanaman penduduk.
"Kawalan dijalankan Unit Tangkapan Gajah (UTG) daerah Gerik selepas menerima aduan kemusnahan tanaman milik penduduk hingga menyebabkan kerugian lebih RM10,000.
"Yob Jagor berjaya ditangkap Ahad lalu dan operasi pindah dilakukan pada Khamis melibatkan keseluruhan 25 anggota," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.
Menurut Yusoff, dua ekor gajah denak bernama Sanum dan Cheri digunakan dalam usaha menjinakkan gajah liar terbabit.
Tambah beliau, gajah liar seberat 1.8 tan kemudiannya dipindahkan ke Santuari Gajah Sungai Deka, Terengganu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!