Perak kenal pasti 215 menara telekomunikasi haram

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KAMPAR - Sebanyak 215 menara telekomunikasi dikenal pasti dibina secara haram di Perak tanpa mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT).

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Mohd Azlan Helmi berkata pembinaan dan pengoperasian menara itu dikesan di 12 kawasan.

"Kerajaan negeri telah melaksanakan Program Pemutihan Struktur Telekomunikasi Negeri Perak pada 2021 dan telah dilanjutkan hingga 30 Jun 2023 bagi memberi peluang kepada pihak yang berkenaan untuk membuat permohonan bagi mendapatkan permit sah daripada PBT serta PDT.

"Namun, masih ada yang gagal melaksanakan proses itu melibatkan 83 di Ipoh, Manjung dan Taiping (31), Teluk Intan (14), Kuala Kangsar dan Tanjung Malim (12), Kerian (9), Tapah (8), Batu Gajah (6), Kampar dan Perak Tengah (4) serta Gerik (1),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pembukaan Pesta Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan (PSKPP) Perak 2023 di Kompleks Rakan Muda Kampar di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Pendidikan negeri Mohamad Fauzi Mahson.

Mohd Azlan berkata, pihak berwajib akan mengenakan kompaun dan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas berkaitan pembinaan infrastruktur tersebut bagi memastikan masalah berkenaan dapat dibendung.

"Walaupun tindakan penguatkuasaan dikenakan terhadap mereka yang gagal mendaftarkan permohonan, kita akan minta mereka supaya melengkapkan proses (permohonan) yang diminta bagi memastikan ia dapat beroperasi secara sah,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Azlan memohon orang ramai bekerjasama menyalurkan maklumat berkaitan kewujudan menara telekomunikasi haram di kawasan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

"Aduan atau maklum balas daripada orang ramai sememangnya digalakkan dan mana-mana individu boleh melaporkan kepada pihak berkuasa seperti Digital Perak serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Perak,” katanya.

Mengenai PSKPP yang disertai 300 warga pendidik di negeri ini, beliau berkata, sebanyak 14 acara dipertandingkan antaranya bola sepak, sepak takraw, bola baling, hoki, bola jaring dan bola tampar.

Beliau berkata, penganjuran program berkenaan sewajarnya diberikan pujian kerana memperlihatkan sektor pendidikan di peringkat negeri mempunyai kepelbagaian dalam membina keterampilan warga kerja yang komprehensif serta berdaya saing khususnya melalui aspek sukan dan kebudayaan. - Bernama