Projek pelabuhan pendaratan ikan tingkat taraf ekonomi penduduk

Menerusi kerjasama itu, penduduk berpeluang terlibat dalam ladang kontrak menerusi aktiviti ekonomi hiliran tersebut

Saipolyazan (duduk depan tengah) bergambar beramai-ramai selepas Majlis Graduasi Program FOT dan MoU Antara STDC dan SRC Global Sdn Bhd.
Saipolyazan (duduk depan tengah) bergambar beramai-ramai selepas Majlis Graduasi Program FOT dan MoU Antara STDC dan SRC Global Sdn Bhd.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Menteri Besar Incorporated (MBI) menyasarkan projek pembangunan pelabuhan pendaratan ikan di Sungai Lang, Sabak Bernam bakal membuka peluang pekerjaan lebih meluas dan menjana ekonomi penduduk setempat.

Ketua Pegawai Operasinya, Saipolyazan Mat Yusop berkata, projek perikanan berskala besar itu bukan sahaja mampu menarik pelabur luar tetapi memberi peluang kepada penduduk tempatan meningkatkan taraf ekonomi masing-masing.

Menurutnya, MBI juga bekerjasama dengan pihak universiti bagi membangunkan projek akuakultur di kawasan terbabit dalam menghasilkan benih ikan bernilai tinggi.

"Kita akan bekerjasama dengan penduduk tempatan yang ingin terlibat dalam bidang perikanan ini bagi meningkatkan sumber pendapatan mereka pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Graduasi Program Fiber Optic Technician (FOT) dan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) Antara Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) dan SRC Global Sdn Bhd.

Saipolyazan berkata, menerusi kerjasama itu, penduduk berpeluang terlibat dalam 'contract farming' (ladang kontrak) menerusi aktiviti ekonomi hiliran tersebut.

"Contohnya, kita berikan benih (ikan) dan mereka kemudiannya menternak dan seterusnya memproses untuk dihantar semula ke kawasan yang kami bangunkan sebagai kawasan industri hiliran," ujarnya.

Tambahnya, pembangunan pelabuhan pendaratan ikan di Sungai Lang di bawah inisiatif Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) itu mempunyai potensi tinggi untuk dimajukan.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, ketika ini pihaknya sedang berusaha mendapatkan pensijilan daripada Kesatuan Eropah (EU).

Katanya, kawasan pelabuhan itu terletak di lokasi strategik dan bakal menjadi pertemuan kapal-kapal besar apabila projek itu dibangunkan di kawasan terbabit.

"Laluan ini digunakan nelayan untuk menghantar hasil laut bukan sahaja di kawasan Sabak Bernam, tetapi di Hutan Melintang, Perak.

"Kedudukannya berada di muara sungai dan berhampiran laut dan ia amat sesuai untuk dibangunkan pelabuhan," jelas beliau.

SABDA seluas 1,317 hektar merupakan salah satu daripada tiga zon pembangunan ekonomi baharu yang dikenal pasti di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Inisiatif yang diterajui oleh MBI itu akan menumpukan kepada usaha membina kedayatahanan makanan di Selangor dengan meningkatkan inisiatif pertanian dan ekonomi biru dengan pelaburan serta teknologi baharu, sambil memanfaatkan peluang-peluang tempatan bagi memacu ekopelancongan.

Kilang yang akan dibina di Sungai Lang adalah membabitkan pembangunan pelabuhan pendaratan baharu untuk kapal besar yang berlayar di Lautan Hindi serta ladang penternakan ikan dan ketam darat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!