Laungan hidup Palestin, hancur Zionis bergema di Ipoh
IPOH - Kira-kira 300 peserta berhimpun di luar perkarangan Masjid Sultan Idris Shah II iaitu Masjid Negeri Perak di sini dalam Himpunan Solidariti Palestin pada Jumaat.
Program anjuran Persatuan Cakna Rakyat Perak itu disertai jemaah masjid sejurus selesai solat Jumaat dan solat sunat hajat bagi mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin.
Setiausaha Persatuan Cakna Rakyat Perak, Nurhafizul Badrul Hisham berkata, penganjuran program tersebut sebagai tanda sokongan terhadap umat Islam serta penduduk di Palestin.
"Kita bersolidariti buat rakyat Palestin yang sedang diserang Zionis Israel. Kita mahu penderitaan dan perjuangan rakyat Palestin ini terus diingati.
"Kita mahu tunjukkan kepada dunia bahawa Palestin tidak berseorangan dan kekejaman Israel harus diambil tindakan," katanya selepas Himpunan Solidariti Palestin itu.
Himpunan selama kira-kira 45 minit itu dimulakan dengan sesi pemidato oleh beberapa penceramah diikuti doa Wirdah dan doa Qunut Nazilah.
Pada majlis itu turut diadakan kutipan sumbangan buat rakyat Palestin yang akan disalurkan ke tabung bantuan Palestin.
Sementara itu, di Bagan Datuk, sebanyak 300 lilitan kepala 'Save Palestin' diedarkan oleh Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk kepada jemaah selepas solat Jumaat di Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk, Muhammad Nabil Saleh berkata, pemberian lilitan kepala itu sebagai solidariti terhadap masyarakat di Gaza, Palestin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!