Zulkapli dahului senarai penerima Darjah Kebesaran Pulau Pinang
GEORGE TOWN - Datuk Dr Zulkapli Mohamed, Tun Abdul Majid dan Datuk Indera Baharin Din merupakan individu yang mendahului penerimaan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang pada tahun ini.
Ketiga-tiga mereka akan dikurniakan Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Zulkapli adalah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sementara Abdul Majid merupakan mantan Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang manakala Baharin adalah Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad.
Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang berkata, sempena Hari Ulang Tahun ke-74, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak telah memperkenankan untuk menganugerahkan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang kepada 1,117 individu termasuk 138 penerima yang membawa gelaran Datuk Seri dan Datuk.
Menurutnya, 138 penerima tersebut melibatkan tiga penerima untuk DPPN, 27 Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN), 15 Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) dan 93 Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN).
"Majlis akan diadakan selama empat hari bermula 14 sehingga 18 Oktober.
"Seramai 213 penerima akan menerima anugerah pada 14 Oktober, 310 pada 16 Oktober, 302 pada 17 Oktober dan 292 orang pada 18 Oktober," katanya pada sidang akhbar di Dewan Sri Pinang di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Rosli Isa.
Menurutnya, bagi penerima DGPN, bekas Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman mendahului senarai penerima bagi DGPN diikuti Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Mohd Sayuthi Bakar serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
"Selain itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain dan tiga bekas Exco Kerajaan Negeri iaitu Datuk Abdul Halim Hussain, Phee Boon Poh dan Chong Eng turut menerima gelaran Datuk Seri," katanya.
Choo Kiang berkata, Timbalan Yang di-Pertua DUN Pulau Pinang, Azrul Mahathir Aziz bakal bergelar Datuk apabila menjadi salah seorang daripada 93 penerima bagi DSPN.
"Selain Azrul, bekas Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Mohd Salleh Man, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Adenan Md Isa juga menerima pingat yang sama.
"Di dalam senarai yang sama, tiga Exco Kerajaan Negeri juga akan bergelar Datuk iaitu Dr Norlela Ariffin, Soon Lip Chee dan Yeoh Soon Hin. Selain itu, bekas Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Saadon Moktar juga akan menerima pingat DSPN," katanya.
Beliau berkata, Hari Ulang Tahun ke-74, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang telah disambut secara rasmi pada 8 Julai lalu namun ditangguhkan bagi memberi laluan pilihan raya negeri (PRN).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!