Belanjawan 2024: RM2.8 bilion selenggara jalan, jambatan
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sebanyak RM2.8 bilion disediakan untuk menyelenggara jalan dan jambatan Persekutuan dengan RM300 juta dikhususkan kepada kontraktor kelas G1 hingga G4.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, khidmat jurutera daerah akan terus diperkasa bagi menangani aduan kecil dan luar jangka melibatkan jalan Persekutuan.
"Kerajaan akan meningkatkan peruntukan kepada RM200,000 ketimbang RM100,000 sekarang kepada 115 jurutera daerah dengan peruntukan keseluruhan RM30 juta," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat, di sini pada Jumaat.
Menurutnya, RM100 juta disediakan bagi menyelenggara lampu jalan termasuk menggantikan kepada jenis LED yang dapat menjimatkan elektrik sehingga 60 peratus.
"Sebanyak RM50 juta turut disediakan untuk tujuan sama di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara," katanya.
Anwar berkata, sejumlah RM50 juta juga disediakan untuk merawat kawasan berkemalangan tinggi antaranya menaik taraf lampu isyarat sedia ada kepada lampu isyarat pintar di jalan Persekutuan bagi membantu mengurai kesesakan laluan trafik
Tambah beliau, kecelakaan di jalan raya terus menyumbang angka kematian yang tinggi.
"Jalan yang baik, kemalangan pun bertambah juga. Sedasawarsa yang berlalu, kita mencatatkan purata lebih 6,000 kematian akibat kemalangan jalan raya.
"Terbaharu, tentunya insiden tragis yang meragut nyawa enam sekeluarga di Jalan Kuantan-Segamat Bandar Muadzam amat mengesankan dan seluruh watan turut berduka," katanya.
"Alhamdulillah setakat Ogos, lebih 4,100 jalan berlubang di jalan Persekutuan telah dikenal pasti dan dibaik pulih," katanya.
Menurut beliau, kerajaan meletakkan sasaran menyelesaikan semua aduan jalan berlubang di jalan Persekutuan di seluruh negara pada tahun ini.
Tegas Anwar, kerajaan komited memastikan tindakan diambil dalam tempoh 24 jam setelah menerima aduan jalan berlubang di Jalan Persekutuan.
"Kerajaan negeri juga harus memanfaatkan sepenuhnya peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) berjumlah RM5.4 bilion yang disalurkan oleh kerajaan Persekutuan bagi memastikan jalan negeri juga dalam keadaan terbaik untuk kegunaan rakyat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!