'Kesal PBB hanya diam diri' - Mohamad Sabu
KUALA LUMPUR - Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu kesal dengan sikap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dilihat berdiam diri dengan isu kekejaman berlaku terhadap rakyat Palestin.
Menurutnya, PBB sepatutnya campur tangan dalam isu ini.
"Saya kesal, PBB dalam hal ini hanya berdiam diri dan bersikap buta, mereka sepatutnya campur tangan.
"Sekarang jalan keluar hanya satu iaitu menghancurkan Israel serta tumbangkan kuasa-kuasa besar yang memberi dan menyalurkan bantuan kepada rejim itu," katanya semasa berucap dalam Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Masjid Negara di sini pada Jumaat.
Tambah beliau, sikap Israel anti agama tidak akan berlarutan lama dan rakyat Palestin pasti kembali ke tanah air mereka.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, sudah hampir 75 tahun tanah gaza dicabul, diserang dan dibedil dengan senjata serta bom rejim Zionis sehingga memusnahkan kediaman dan harta benda serta nyawa rakyat tidak berdosa.
Katanya, setiap tahun rakyat Malaysia berhimpun mengemukakan kecaman serta bantahan ke atas kekejaman rejim Israel namun kezaliman itu seperti tiada kesudahan.
"Ada yang tanya saya, kita setiap tahun berhimpun bersatu hati mengutuk sekeras kekejaman itu, bagi saya, yang pasti satu-satunya solusi tetap untuk menamatkan konflik 75 tahun oleh Israel adalah dengan memberikan kemerdekaan dan kebebasan kepada rakyat dan tanah Gaza, itu sahaja perlu dilakukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!