Gaji minimum intervensi dasar penting tingkat keberhasilan gaji
KUALA LUMPUR - Intervensi dasar seperti dalam penetapan gaji minimum diperlukan dan penting dalam pasaran buruh untuk meningkatkan keberhasilan gaji, meningkatkan gaji pekerja berpendapatan rendah serta mengurangkan ketidaksamaan gaji.
Menurut Tinjauan Ekonomi 2024 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, pengenalan gaji minimum pada 2013 merupakan satu langkah progresif yang penting namun masih banyak yang perlu dilakukan sekiranya sasaran kerangka Ekonomi Madani untuk meningkatkan upah pekerja kepada 45 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ingin dicapai.
Tinjauan itu menyebut pengajaran utama daripada pelaksanaan gaji minimum adalah langkah progresif, perundingan dan ketegasan diperlukan untuk meningkatkan kesaksamaan dan keterangkuman ekonomi.
"Justeru, dasar semasa perlu memberikan tumpuan untuk memastikan peningkatan signifikan dalam paras gaji median pada masa hadapan. Sekiranya pelaksanaan gaji minimum telah berjaya meningkatkan gaji golongan pekerja bergaji terendah maka langkah seterusnya perlu ditumpukan kepada golongan pekerja bergaji pertengahan,” katanya.
Menurut laporan itu, lepasan baharu institusi pengajian tinggi di Malaysia berdepan dengan masalah pertumbuhan gaji yang lembap sejak lebih sedekad lalu apabila lebih 70 peratus daripada mereka yang bekerja memperoleh gaji di bawah RM2,000 sebulan malah lebih membimbangkan peratus yang bergaji antara RM1,000 dan RM2,000 meningkat daripada 43.7 peratus pada 2010 kepada 54.6 peratus pada 2020.
Selain itu, peratusan golongan itu bergaji melebihi RM2,000 telah berkurang sebanyak 2.3 peratus manakala yang berpendapatan di bawah gaji minimum meningkat daripada 48.8 peratus kepada 51.1 peratus antara 2019 dan 2020.
"Ketidakupayaan pasaran buruh untuk membayar lepasan baharu dengan sewajarnya adalah disebabkan oleh cabaran struktural yang lebih besar dalam penciptaan pekerjaan,” katanya.
Menurut laporan itu, walaupun cabaran struktural merupakan penyebab kepada masalah gaji, namun trend tahap gaji rendah menjadi punca yang menyumbang kepada masalah struktural di negara ini.
Dua trend utama yang dikaitkan dengan isu kekurangan pekerjaan bergaji tinggi ialah penghijrahan bakat dan peningkatan jumlah pekerjaan tidak standard seperti pekerjaan gig, p-panggilan dan e-panggilan.
"Berdasarkan kajian Bank Dunia pada 2010, kira-kira 54 peratus daripada bakat Malaysia yang berhijrah ke luar negara berada di Singapura. Kadar gaji lebih tinggi merupakan pendorong utama yang menarik rakyat Malaysia untuk bekerja di Singapura.
"Kira-kira 26 peratus daripada guna tenaga terlibat dalam pekerjaan gig pada 2020 dan anggaran awal menunjukkan sektor gig boleh memberikan pendapatan bulanan yang kompetitif berbanding gaji permulaan graduan baharu,” katanya.
Sekiranya Malaysia berhasrat untuk keluar daripada belenggu gaji rendah, keuntungan rendah dan produktiviti rendah, model perniagaan serta pertumbuhan ekonomi yang bergantung kepada buruh murah perlu diatasi melalui usaha yang bersepadu untuk meningkatkan gaji.
Menurut laporan itu, usaha sedemikian memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, majikan dan kesatuan sekerja untuk memastikan keberkesanan dan pelaksanaan yang mampan.
"Kerangka Ekonomi Madani menekankan keperluan pendekatan seluruh negara dengan tumpuan untuk memperkasakan rakyat demi ‘Bersama Membina Malaysia yang Lebih Baik’.
"Justeru, majikan dan perniagaan perlu mendukung matlamat pertumbuhan gaji sebagai sumber transformasi perniagaan dan ekonomi,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!