Rebat sehingga RM2,400 kepada pembeli motosikal elektrik
KUALA LUMPUR - Kerajaan memperkenalkan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik kepada rakyat berpendapatan tahunan RM120,000 ke bawah dengan memberikan rebat sehingga RM2,400 kepada pembeli.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, skim tersebut diperkenalkan bagi menggalakkan penggunaan motosikal elektrik di negara ini.
"Kerajaan akan terus melonjak pembangunan industri kenderaan elektrik (EV) tempatan dan menggalakkan penerimaan rakyat terhadap penggunaan EV.
"Kerajaan mengalu-alukan pelaburan melebihi RM170 juta oleh syarikat terkemuka seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Gentari dan Tesla Malaysia untuk memasang 180 stesen pengecasan EV," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat, di sini, pada Jumaat.
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memberitahu, bagi menyokong keperluan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), Prasarana Malaysia Berhad bersetuju untuk memperoleh 150 bas elektrik dan membina tiga depoh bas dengan kos RM600 juta.
Beliau berkata, kerajaan juga bercadang melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas perbelanjaan kemudahan pengecasan EV untuk tempoh empat tahun dan potongan cukai bagi kos sewaan EV untuk tempoh dua tahun lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!