Geng Acoy aktif curi motosikal berkuasa tinggi tumpas
SEPANG - Kegiatan mencuri motosikal berkuasa tinggi dengan menyasarkan kawasan pangsapuri dan kondominium di sekitar daerah ini untuk melakukan jenayah terbabit tumpas dengan tertangkapnya empat individu termasuk seorang wanita pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan sebelum ini dijalankan berdasarkan laporan dibuat oleh seorang individu berkaitan motosikal jenis Yamaha R25 hilang dipercayai dicuri pada 18 September lalu.
"Siasatan mendapati mangsa meletak motosikalnya itu di bahagian bawah kediaman jenis kondominium sebelum mangsa menyedari motosikalnya telah dicuri.
"Anggaran kerugian dialami mangsa kira-kira RM10,000 dan siasatan berkaitan kejadian dibuka di bawah Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Wan Kamarul Azran berkata, hasil siasatan mendapati kegiatan terbabit didalangi satu kumpulan dikenali Geng Acoy yang dipercayai menyasarkan motosikal berkuasa tinggi.
"Kumpulan ini melakukan jenayah berkaitan pada awal pagi selain menyasarkan kediaman jenis pangsapuri dan kondominium.
"Motosikal berkuasa tinggi yang dipercayai menjadi sasaran kumpulan penjenayah ini adalah daripada jenis Yamaha dan Ducati," ujarnya.
Menurutnya, susulan operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang membawa kepada tangkapan empat suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan ini.
"Dua lelaki dan seorang wanita diberkas di sebuah hotel di kawasan Sepang menerusi operasi yang dijalankan kira-kira jam 1 pagi manakala seorang lagi suspek lelaki diberkas kira-kira jam 4.30 petang di Bandar Bukit Mahkota Kajang.
"Kesemua suspek diberkas merupakan warga tempatan berumur antara 27 hingga 44 tahun," katanya.
Wan Kamarul Azran berkata, semakan mendapati kesemua suspek turut memiliki pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
"Beberapa buah motosikal berkuasa tinggi melibatkan pelbagai jenama serta pelbagai barangan lain turut dirampas.
"Kesemua suspek direman sehingga 16 Oktober untuk siasatan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!