Belanjawan 2024: Pusat pengajian AI pertama negara ditubuhkan
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan pusat pengajian kecerdasan buatan pertama negara iaitu Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan peruntukan awal RM20 juta.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah itu bagi memperhebat penerokaan bidang AI rentas disiplin ilmu.
"Malaysia perlu bergerak pantas untuk menerajui bidang tujahan masa hadapan selari dengan ledakan transformasi digital global.
"Inovasi dan bakat digital perlu diperkasakan khususnya dalam bidang AI bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara yang lebih mampan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Anwar memberitahu, Belanjawan Madani Kedua menyediakan peruntukan RM250 juta untuk menggantikan dan meluaskan capaian Wi-Fi di semua universiti awam termasuk RM5 juta untuk melaksanakan projek pendigitalan hospital pengajar universiti.
Menurut Ahli Parlimen Tambun itu, ia kerana aduan yang acap kali beliau terima dalam Siri Temu Anwar bersama mahasiswa ialah masalah capaian internet yang lemah di universiti yang harus ditangani segera.
"Bagi meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan di institusi pendidikan tinggi (IPT), RM300 juta disediakan untuk menyelenggara dan membaiki prasarana di IPT serta menggantikan peralatan lama yang usang. Ini termasuk RM50 juta bagi perolehan peralatan di empat universiti teknikal Malaysia.
"Kerajaan (juga) akan terus merakyatkan ilmu dengan menggalakkan komuniti rentan seperti orang kurang upaya (OKU), Orang Asli, ibu tunggal dan warga emas mengikuti Program Pembelajaran Sepanjang Hayat di kolej komuniti," ujarnya.
Anwar memaklumkan, sejumlah RM5 juta disediakan untuk manfaat 5,000 komuniti tumpuan di 105 kolej komuniti seluruh negara.
Katanyam bagi meningkatkan tahap sosioekonomi dan mendaya upaya usahawan setempat pula, kerajaan menyediakan RM1 juta kepada setiap universiti awam untuk memperhebat pelaksanaan Program Pengupayaan Komuniti Madani dan Program Pemulihan Dalam Komuniti OKU.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!