PM sebut nama Aqil Naufal, peruntuk RM12 juta perkasa atlet para
KUALA LUMPUR - Nama murid Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Lepar Utara 1, Pahang, Muhammad Aqil Naufal Zahiran, 11, yang sebelum ini tular kerana mempamerkan semangat kesukanan walau dalam kekurangan disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2024.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, cita-cita Aqil Naufal untuk bermain boleh sepak kini tercapai.
"Saya pasti semua telah menyaksikan kisah inspirasi adik Aqil Naufal, murid SK Felda Lepar Utara 1, Pahang yang mempamerkan semangat kesukanan walaupun dalam kekurangan.
"Impian Adik Aqil untuk bermain boleh sepak tercapai setelah mendapat bantuan kerajaan dan dorongan daripada Persatuan Bola Sepak Orang Kudung Malaysia (MAFA)," katanya di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Aqil yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal tular di media sosial pada Ogos lalu selepas membuktikan keupayaannya berlari sehingga ke garisan penamat dalam satu kejohanan olahraga walaupun dalam keadaan kudung kaki kiri dan memakai tongkat.
Meskipun menjadi peserta terakhir yang sampai ke garisan penamat, namun semangatnya untuk menghabiskan larian mendapat pujian ramai.
Anwar menambah, bagi memperkasa ekosistem atlet para, sebanyak RM12 juta disediakan kepada Majlis Sukan Negara untuk program latihan dan persediaan atlet ke temasya sukan para antarabangsa.
Menurutnya, sejumlah RM50 juta pula disediakan bagi menyelenggara dan menaik taraf kemudahan belia dan sukan seluruh negara khususnya bagi prasarana yang daif.
"Susulan sambutan tahun ini yang amat menggalakkan, kerajaan akan terus menyediakan dana geran padanan RM50 juta bagi menggalakkan penganjuran acara sukan berprestasi tinggi oleh badan sukan dan sektor swasta.
"Kerajaan bersetuju memberikan potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat kepada individu atau syarikat yang menyumbang kepada institusi, organisasi atau tabung yang diluluskan di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang melaksanakan program pendidikan termasuk pendidikan sukan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!