Agong, Permaisuri hadir santapan malam bersama kepimpinan Pulau Pinang

Sultan Abdullah (dua dari kanan) dan Tunku Azizah (kanan) berkenan memerhatikan gambar Seri Paduka baginda berdua yang ditunjukkan oleh Kon Yeow (tengah) semasa menerima cenderahati sempena Majlis Santapan Malam Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Shangri-la Rasa Sayang Resort dan Spa, Batu Ferringhi malam ini. - Foto: Bernama
Sultan Abdullah (dua dari kanan) dan Tunku Azizah (kanan) berkenan memerhatikan gambar Seri Paduka baginda berdua yang ditunjukkan oleh Kon Yeow (tengah) semasa menerima cenderahati sempena Majlis Santapan Malam Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Shangri-la Rasa Sayang Resort dan Spa, Batu Ferringhi malam ini. - Foto: Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMASKINI] Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis santapan malam bersama kepimpinan kerajaan Pulau Pinang di Shangri-la Rasa Sayang Resort & Spa, Batu Ferringhi dekat sini malam ini.

Seri Paduka berdua diiringi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff serta Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan isteri, Tan Lean Kee.

Turut hadir pada majlis itu barisan kepimpinan kerajaan negeri termasuk wakil rakyat, ahli majlis dan pegawai-pegawai kanan pentadbiran negeri.

Dalam titah ucapannya, Al-Sultan Abdullah merakamkan ucapan terima kasih dan menzahirkan rasa besar hati kerana ini adalah kali pertama Seri Paduka berkunjung ke Pulau Pinang selepas ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lepas.

Seri Paduka bertitah Pulau Pinang yang dahulunya hanyalah sebuah pulau yang menjadi pusat pelabuhan dan persinggahan para pedagang pada abad ke-18, kini menjadi sebuah negeri yang berkembang maju seiring dengan kepesatan pembangunan dan ekonomi pada hari ini.

"Sepanjang lawatan kerja dua hari ini, saya akui saya begitu kagum dengan kepesatan yang dikecapi Pulau Pinang. Melalui kunjungan saya ke beberapa tempat di sekitar Pulau Pinang, saya dapati pembangunan di negeri ini sangat pesat di samping kemudahan infrastruktur yang maju.

"Selain itu, Pulau Pinang juga menunjukkan perkembangan ekonomi yang sangat positif di mana yang dinyatakan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkaitan Visi Penang 2030 saya percaya dengan kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri saya percaya hasrat ini akan dicapai.

"... dan yang lebih penting ialah kesejahteraan rakyat akan dapat dinikmati dalam masa yang terdekat ini. Dengan ini, saya terus mendoakan supaya Pulau Pinang di bawah pimpinan Yang Dipertua Negeri dan ketua menteri akan terus dapat menjadikan Pulau Pinang sebagai contoh kepada negeri-negeri lain,” titah Al-Sultan Abdullah.

Artikel Berkaitan:

Seri Paduka turut berkongsi pengalamannya berkunjung ke Bukit Bendera yang disifatkan sebagai sebuah lokasi pelancongan menarik dan menakjubkan dengan pembinaan The Habitat di kawasan itu.

"Saya begitu kagum dapat meluangkan masa di Bukit Bendera. Sebenarnya kali terakhir saya pergi Bukit Bendera lebih kurang 45 tahun dahulu. Saya begitu kagum dan itulah antara sebabnya saya turun lambat sikit sebab saya berjalan jauh di sana... Skywalk, canopy walk yang sangat tinggi dan Curtist Crest yang menakjubkan,” kongsi Seri Paduka.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan semua rakyat untuk terus mengekalkan perpaduan dan semangat muhibah yang dikecapi negara selama 62 tahun memandangkan kebelakangan ini banyak isu berkaitan perkauman, sensitiviti dan agama sering dibangkitkan.

"Kita telah sampai sejauh ini, kita telah menikmati 62 tahun kemerdekaan, kita perlu memandang ke hadapan dan sebelum Krismas, sebelum akhir tahun mungkin kita boleh memperbaharui persahabatan dan hubungan kita.

"Ini amat penting bagi semua bangsa, ahli politik dan saya harap ini dapat jadi ingatan pada kita semua termasuk diri saya sendiri... yang paling penting adalah untuk melihat rakyat Malaysia yang bersatu padu,” titah Al-Sultan Abdullah.

Pada majlis santapan itu, Seri Paduka berdua turut dipersembahkan dengan tarian kebudayaan dan nyanyian oleh artis jemputan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!