Cuepacs gesa kerajaan percepat kajian SSPA
SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan untuk mempercepatkan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) agar dapat dilaksanakan dengan segera pada tahun hadapan.
Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, SSPA yang baharu adalah penting untuk memastikan gaji diterima oleh penjawat awam pada ketika ini sesuai dengan persekitaran ekonomi semasa.
“Bayaran insentif hanyalah bersifat sementara dan tidak mampu menyelesaikan masalah pendapatan yang tidak setara dengan peningkatan kos sara hidup.
“Pelaksanaan SSPA baharu yang komprehensif adalah perkara dituntut oleh penjawat awam dan disampaikan kepada kerajaan melalui sesi libat urus yang telah dilaksanakan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sinar Harian melaporkan, menerusi pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia Madani, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, semua penjawat awam gred 57 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak menerima Bayaran Insentif Awal Kajian SSPA sebanyak RM2,000.
Mengulas lanjut, Adnan memberitahu bahawa, insentif berkenaan dilihat tepat apabila ia boleh mengurangkan beban persediaan bagi perbelanjaan persekolahan anak-anak serta persiapan menyambut Ramadan dan Syawal.
Dalam pada itu, beliau berharap agar kerajaan melaksanakan semula pembinaan kediaman mampu milik untuk dibeli oleh penjawat awam.
“Ia adalah langkah yang lebih tepat untuk membantu penjawat awam memiliki kediaman sendiri berbanding menyewa atau tinggal di kuarters kerajaan,” katanya.
Bagaimanapun, Adnan berkata, Cuepacs menghargai komitmen kerajaan dalam menyalurkan peruntukan sehingga RM2.4 bilion bagi membina, menyelenggara dan membaik pulih kuarters penjawat awam.
Ujarnya, diharapkan insentif berkenaan dapat membantu menyelesaikan masalah perumahan penjawat awam terutama mereka yang bertugas di bandar besar serta kawasan dengan nilai pasaran hartanah tinggi.
Tambah beliau lagi, langkah itu juga sekali gus dapat mengurangkan masalah penjawat awam yang terpaksa tinggal jauh daripada lokasi mereka bekerja disebabkan ketiadaan kediaman mampu milik di kawasan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!