Kerajaan cadang elaun cukai pelaburan pada 70 dan 100 peratus
KUALA LUMPUR - Kerajaan bercadang untuk memberikan galakan cukai pelaburan semula secara tiering dalam bentuk elaun cukai pelaburan sebanyak 70 peratus atau 100 peratus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan insentif berasaskan keberhasilan ialah satu dimensi baharu yang menggunakan sistem tiering dalam pemberian insentif.
"Ia akan merancakkan syarikat untuk menjana ekonomi melalui pelaburan dalam bidang berpertumbuhan dan bernilai tinggi dan seterusnya mewujudkan kluster ekonomi baharu, memperluaskan rangkaian domestik dan mengimbangi kelestarian ekonomi dan alam sekitar,” katanya dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dengan ini, syarikat akan menikmati insentif yang setara dengan komitmen yang dilaksanakan.
Menurutnya, kerajaan akan memberi keutamaan pelaburan masa hadapan yang ditumpukan kepada bidang yang berpertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi bagi mengatasi isu struktur yang membelenggu sistem ekonomi termasuk sektor perindustrian yang menguncup sebelum masanya.
Bagi menyokong ekosistem bernilai tinggi, kerajaan mencadangkan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang dijadikan hab pembangunan sektor kimia dan petrokimia dengan pemberian pakej galakan cukai dalam bentuk kadar cukai khas atau elaun pelaburan, kata Perdana Menteri. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!