Ancelotti kagum cara Ferguson pacu Everton
CARLO Ancelotti menegaskan pengendali sementara Everton, Duncan Ferguson dikekalkan menjadi sebahagian daripada kakitangan kejurulatihan kelab itu selepas pengendali dari Itali itu dilantik mengendalikan The Toffees.
Ancelotti yang dilantik pengurus baharu Everton dengan kontrak empat tahun setengah berkata, Ferguson dikekalkan selepas merekodkan keputusan baik ketika menentang Chelsea dan Manchester United pada saingan liga.
"Saya sudah melihat persembahan para pemain Everton yang memiliki karakter juang tinggi dalam dua minggu terakhir ini.
"Peranan dimainkan Ferguson dalam membentuk disiplin dan memacu semangat pemain juga tidak boleh dinafikan sebagai faktor penyumbang kejayaan ini.
"Secara jujur saya gembira Ferguson menjadi sebahagian barisan kejurulatihan Everton," kata bekas pengendali Napoli itu.
The Toffees berada kedudukan ke-16 saingan Liga Perdana Inggeris sebelum aksi menentang Arsenal malam ini berusaha meloloskan diri dari zon penyingkiran.
Pada masa sama pengendali berusia 60 tahun itu berkata, beliau gembira kerana diberikan kepercayaan untuk merealisasikan misi kelab berkenaan.
"Satu cabaran kepada saya iaitu untuk menghadirkan kejayaan dan trofi selaras visi pemilik dan lembaga pengarah Everton.
"Saya gembira dapat bersama kelab yang mempunyai sejarah tersendiri dan dipacukan keyakinan tinggi penyokong untuk merealisasikan visi Everton," katanya.
Ancelotti akan memulakan tugasnya secara rasmi pada aksi liga menentang Burnley pada Khamis.
Sementara itu, Everton terpaksa berpuas hati apabila sekadar melakar keputusan terikat tanpa jaringan pada aksi menentang The Gunners di Goodison Park sebentar tadi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!