Menteri Israel dihalau ketika lawat hospital
TEL AVIV - Menteri kabinet Israel berdepan detik memalukan apabila beliau diusir ketika mengadakan lawatan ke sebuah hospital pada Rabu.
“Anda telah musnahkan negara ini. Berambus dari sini!” jerit seorang doktor kepada Menteri Alam Sekitar, Idit Silman ketika beliau mahu menziarahi mangsa cedera di Assaf Harofeh Hospital di Tsrifin.
Seorang lagi kakitangan di hospital berkenaan turut menzahirkan kemarahannya dengan menyatakan ‘bagaimana anda tidak ada rasa malu untuk melancarkan perang lagi?'
Sindiran dan kemarahan yang ditujukan secara terus kepada menteri itu menyebabkan beliau akur meninggalkan premis tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Diplomasi Awam, Galit Distel meletak jawatan selepas tidak berpuas hati kerana dana kementerian di bawah kendaliannya disalurkan untuk operasi ketenteraan di Gaza.
“Kerajaan sepatutnya ketepikan ego dan utamakan penduduk Israel terlebih dahulu yang memerlukan setiap shekel yang tidak sepatutnya dibazirkan begitu sahaja,” katanya dalam nada kesal pada Khamis.
Situasi yang semakin meruncing juga menyebabkan Knesset (Parlimen) meluluskan pembentukan ‘kerajaan kecemasan’ dengan 66-4 undi sokongan, sehari selepas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mengumumkan kerjasama era perang bersama pesaingnya, Benny Gantz.
Gantz bersama empat anggota Parti Biru dan Putih pimpinan beliau turut mengangkat sumpah jawatan menteri tanpa portfolio. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!