Hamidin harap lebih ramai pengadil ikut jejak langkah Nazmi
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) berharap lebih ramai pengadil tempatan, akan mengikut jejak langkah Muhammad Nazmi Nasaruddin bersama dua pembantunya yang akan bertugas pada Piala Asia 2023 di Qatar, Januari depan.
Dua pembantu pengadil yang akan mengiringi Muhammad Nazmi ke Qatar ialah Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, badan induk tersebut akan terus memberi sokongan dan bantuan kepada pengadil agar mereka terus mencapai tahap tertinggi di peringkat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) serta Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
“AFC memiilih Nazmi dan dua pembantunya untuk menggalas tugas pada Piala Asia di Qatar. Ia satu pengiktirafan dan diharap akan terus menjadi pemangkin kemajuan pengadil bola sepak Malaysia.
“Menjadi harapan kami untuk melihat lebih ramai pengadil Malaysia memegang tugas utama dalam perlawanan antarabangsa terutama pada kejohanan Piala Dunia 2026 yang akan diadakan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico,” katanya dalam hantaran di Facebook FAM pada Jumaat.
Terdahulu, Hamidin meluangkan masa bersarapan dengan Muhammad Nazmi, Mohamad Zairul dan Mohd Arif di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Muhammad Nazmi dan dua pembantunya turut dipilih AFC untuk mengendalikan beberapa aksi kumpulan saingan Liga Juara-Juara AFC musim ini yang melibatkan penggunaan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!