Dasar baharu subsidi kukuhkan kedudukan fiskal kerajaan - Wadah
SHAH ALAM - Dasar-dasar baharu mengenai penyusunan semula kaedah subsidi daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar akan mengukuhkan kedudukan fiskal Kerajaan Perpaduan untuk melaksanakan reformasi ekonomi dan meneruskan agenda Ekonomi Madani.
Setiausaha Agung Pertubuhan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Azizuddin Ahmad berkata, pengubahsuaian semula dasar itu perlu untuk memastikan penjimatan subsidi dapat dikembalikan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan.
"Sesungguhnya ekonomi negara sedang menghadapi zaman-zaman sukar, maka agenda pemerkasaan rakyat yang menjadi teras utama Ekonomi Madani akan terus menunjangi reformasi-islahiy ekonomi negara ini.
"Usaha-usaha penegakan moral ekonomi sememangnya wajar diberi perhatian dengan tata kelola yang mantap," katanya dalam satu kenyataan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat membentangkan Belanjawan 2024 bertemakan 'Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat' melibatkan peruntukan sebanyak RM393.8 bilion yang merupakan bajet terbesar dalam sejarah negara.
Jumlah itu meliputi perbelanjaan RM303.8 bilion bagi mengurus dan RM90 bilion untuk pembangunan serta RM2 bilion bagi simpanan luar jangka negara.
Azizuddin menambah, Wadah menyanjung tinggi usaha reformasi ekonomi itu untuk meletakkan negara ke landasannya yang betul, setelah melalui pelbagai cabaran dan ketirisan beberapa tahun sebelum ini.
"Ini akan mengukuhkan integriti dan nilai hormat masyarakat terhadap pengurusan dan birokrasi negara.
"Wadah juga menyambut dengan positif peruntukan RM1.9 bilion untuk pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di samping mengembalikan peruntukan terhadap Sekolah Agama Rakyat (SAR). Pengukuhan terhadap Budaya, Bahasa dan Sastera juga amat baik untuk kemajuan sosiobudaya yang penting dalam pembinaan jati diri masyarakat," ujarnya.
Azizuddin memberitahu, pihaknya turut menyambut baik peruntukan RM100 juta untuk inisiatif badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan masyarakat sivil kerana ia akan mengukuhkan peranan sektor masyarakat sivil mengupayakan usaha misi pencerahan dan pencerdasan rakyat.
"Wadah mengharapkan belanjawan kali ini dapat dilaksanakan dengan berkesan untuk manfaat rakyat dalam menghadapi suasana ekonomi yang sukar.
"Kerjasama semua pihak sama ada sektor kerajaan, swasta dan NGO atau masyarakat sivil amat penting bagi membina satu ekosistem harmoni membantu pemacuan ekonomi negara," ulasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!