'Lagak pandu Honda Civic, rupanya pakai lesen palsu'
SHAH ALAM - Lagak lelaki warga asing pandu kereta Honda Civic berakhir selepas ditahan di Jalan Padang Jawa, di sini, pada Selasa, kerana menggunakan lesen memandu palsu.
Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, lelaki warga Indonesia berusia 30 tahun itu ditahan kira-kira jam 5.30 petang selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, JPJ Selangor kemudian telah bertindak menyita kereta terbabit yang dipercayai adalah milik rakannya warga tempatan.
"Soal siasat awal suspek mengaku mendapatkan lesen memandu palsu dari rakannya yang juga warga Indonesia dengan harga RM3,000.
"JPJ telah mengambil tindakan saman dan kereta disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, JPJ Selangor sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua jenis kenderaan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.
Jelasnya, sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau melalui platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!