Tang yuan dan butir nako

A
A
A

MASYARAKAT Cina di Malaysia menyediakan juadah tang yuan bagi menyambut Pesta Dongzhi atau Solstis Musim Sejuk (bermaksud cuaca sejuk keterlaluan) kebiasaannya pada atau sekitar 22 Disember setiap tahun.

Sambutan kebudayaan yang turut diraikan di China, Jepun, Korea dan Vietnam itu adalah bila mana cahaya matahari adalah paling lemah dan siang hari paling pendek

Sambutan itu juga berkaitan dengan falsafah yin dan yang iaitu konsep tentang keseimbangan dan keharmonian alam semesta (Yin = musim sejuk = negatif manakala Yang = musim panas = positif) kerana selepas perayaan ini, waktu siang akan lebih panjang maka meningkatlah tenaga positif.

Tang yuan ialah bebola pulut yang dimasak dengan sup manis dan biasanya dimakan semasa berkumpul bersama keluarga. Bebola yang terkumpul dalam mangkuk melambangkan kebersamaan keluarga.

Maka, berkumpul bersama keluarga semasa sambutan Pesta Dongzhi juga merupakan tradisi bagi masyarakat Cina selain daripada sambutan Tahun Baharu Cina.

Oleh kerana Dhongzhi disambut pada akhir tahun, kira-kira enam minggu sebelum sambutan Tahun Baharu Cina, ia menjadi satu titik peralihan.

Usia akan meningkat satu tahun selepas sambutan itu dan ini disebut sebagai tiansui yang bermaksud meningkat usia. Mereka seharusnya menjadi lebih baik sejajar dengan peningkatan usia.

Berbalik kepada tang yuan, terdapat dua jenis iaitu yang berinti dan tanpa inti. Bahan utama kedua-duanya ialah tepung beras pulut. Tang yuan berinti pula mempunyai pelbagai variasi; ada yang mencampurkan bijan, kacang tanah atau pes kacang manis.

Artikel Berkaitan:

Di Malaysia, tang yuan biasanya tidak berinti dan diuli dengan tangan menjadi bentuk bola. Bebola ini pula dibuat dalam pelbagai warna; ada yang berwarna putih, merah, merah jambu, hijau dan sebagainya.

Bagi penyediaan sup manis pula, air akan direbus bersama-sama daun pandan yang disimpul, sedikit gula batu atau gula perang, gula Melaka, gula kastor ataupun gula pasir, dan halia yang dihiris halus, hingga menggelegak.

Rasanya seperti air sirap. Bebola akan dimasukkan ke dalam sup yang mendidih sehingga masak. Bebola yang sudah masak akan timbul.

Ada juga yang menyediakannya secara berasingan. Sup manis disejukkan dan disimpan di dalam peti sejuk. Bebola yang telah dimasak berasingan hanya akan dimasukkan ke dalam sup manis yang sejuk apabila hendak dimakan.

Baru-baru ini telah diadakan pertandingan menyediakan tang yuan di Kem Belia Macma (Persatuan Cina Muslim Malaysia) di Port Dickson. Peserta ialah anak-anak ahli Macma dan mereka dibahagikan kepada lima kumpulan.

Pengadilan dibuat dari segi kreativiti dalam menguli bentuk tang yuan. Ada yang membuat bentuk bintang, bentuk karipap, bentuk bunga dan ada juga bentuk orang salji seakan-akan Olaf dalam filem Frozen.

Kebetulan terdapat ramai ahli NGO Haluan yang menganjurkan program belia (i-JDK atau Kursus Jati Diri dan Kesukarelawan Remaja) bersama pelajar lepasan SPM di tempat yang sama ketika itu. Maka, tiga daripada urus setia Haluan dilantik sebagai juri pertandingan.

Salah seorang daripada mereka mengatakan bahawa cara penyediaan dan bentuk tang yuan hampir sama dengan penyediaan kuih butir nako atau butir nangka, sejenis kuih tradisional yang popular di Kelantan. Ia digelar butir nako kerana bentuk dan saiznya yang seperti seulas buah nangka.

Kuih butir nako biasanya berwarna hijau, hasil daripada daun pandan yang dikisar tetapi kini terdapat kuih butir nako yang dibuat dengan warna lain juga. Yang membezakan kuih butir nako dengan tang yuan adalah kuahnya yang lebih pekat dan berlemak kerana menggunakan santan kelapa.

Bagi mereka yang ingin tahu, bolehlah cuba untuk merasa atau mencuba sendiri resipi kedua-dua juadah ini yang satunya merupakan juadah tradisi Cina manakala satu lagi kuih tradisi negeri Kelantan. Kedua-duanya serupa tapi tak sama.

* Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!