HDC bina platform digital baharu percepat proses pensijilan halal
SHAH ALAM - Development Corporation Berhad (HDC) akan membina satu platform digital baharu dengan mengintegrasi aplikasi dan sistem sedia ada bagi membantu proses persiapan pensijilan halal dalam tempoh 30 hari.
Pengerusinya, Khairul Azwan Harun berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan agensi berkaitan untuk mempercepatkan serta mempermudahkan proses permohonan pensijilan berkenaan.
“Ia bagi meningkatkan nilai dagangan eksport produk halal Malaysia ke pasaran global dan menambah bilangan jumlah syarikat pengeksport yang memiliki sijil tersebut.
“Kami yakin tempoh kelulusan yang dipendekkan kepada 30 hari seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dapat dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Anwar ketika pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, mengumumkan kerajaan akan memendekkan tempoh memproses pensijilan halal daripada 51 hari kepada 30 hari.
Jumlah itu meliputi perbelanjaan RM303.8 bilion bagi mengurus dan RM90 bilion untuk pembangunan serta RM2 bilion bagi simpanan luar jangka negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!