MYAirline: Sabah hilang 6,000 penumpang seminggu

Christina Liew - Foto Bernama
Christina Liew - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Penggantungan operasi syarikat penerbangan tambang murah MYAirline yang berkuat kuasa semalam telah menyebabkan Sabah kehilangan 6,000 penumpang seminggu, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew.

Beliau berkata, jumlah penerbangan domestik ke Sabah turut terjejas berikutan penggantungan operasi dan kerajaan negeri berharap isu itu dapat diselesaikan secepat mungkin.

Menurut Lembaga Pelancongan Sabah, ketibaan domestik adalah sangat penting kerana 70 hingga 80 peratus daripada ketibaan setakat ini adalah dari dalam negeri.

"Kesalinghubungan adalah satu faktor penting yang mesti kita ada. Kita juga memerhati dan memantau isu ini dengan teliti. Kita berharap mereka akan menyelesaikan isu ini tidak lama lagi,” katanya pada sidang media sempena Pesta Pantai Tanjung Aru 2023 di sini hari ini.

Semalam, MYAirline Sdn Bhd mengumumkan penggantungan operasi sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak berikutan tekanan kewangan, dan turut membabitkan penerbangan harian antara Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur.

Sementara itu, mengenai Pesta Pantai Tanjung Aru 2023 yang akan diadakan akhir bulan ini, Christina berkata, acara itu memainkan peranan besar dalam menyumbang kepada industri pelancongan Sabah kerana ia mempromosikan satu daripada tarikan utama Sabah iaitu pemandangan matahari terbenam menakjubkan di pantai itu.

Dengan melaksanakan kempen bebas sampah, Christina berkata, acara itu merupakan cara terbaik bagi penduduk tempatan dan pelancong berinteraksi, pada masa sama bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Pesta Pantai Tanjung Aru 2023 berlangsung pada 28 dan 29 Oktober, bermula 10 pagi hingga 10 malam di Prince Philip Park, dimeriahkan dengan persembahan barisan artis tempatan selain pelbagai aktiviti menarik di tepi pantai serta gerai oleh vendor tempatan.

Artikel Berkaitan:

Matlamat utama penganjuran acara ini adalah untuk memperkenalkan Pantai Tanjung Aru sebagai tarikan utama di Sabah sambil menekankan kepentingan menjaga kebersihan pantai. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!