Pelajar lelaki ditemukan lemas ketika mandi laut

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

MELAKA - Seorang pelajar lelaki tingkatan empat ditemukan lemas di Pantai Mutiara, Kem Terendak di sini, pada Jumaat.

Dalam kejadian jam 6 petang, mangsa yang berusia 16 tahun yang pergi ke pantai berkenaan bersama rakan dan gurunya dipercayai sedang mandi di tengah laut, sebelum dilihat terkapai-kapai dan hilang sebelum sempat diberikan bantuan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Penguasa Kanan Bomba Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.30 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu digerakkan ke lokasi kejadian.

Mayat mangsa ditemui pasukan skuba Rejimen Gerak Khas (Komando) tidak jauh dari lokasi mangsa dilaporkan hilang dalam kejadian di Pantai Mutiara, Kem Terendak, Melaka pada Jumaat.
Mayat mangsa ditemui pasukan skuba Rejimen Gerak Khas (Komando) tidak jauh dari lokasi mangsa dilaporkan hilang dalam kejadian di Pantai Mutiara, Kem Terendak, Melaka pada Jumaat.

"Seramai 26 anggota terlibat operasi mencari dan menyelamat mangsa yang turut dibantu anggota dari BBP Melaka Tengah.

"Mayat mangsa ditemui oleh pasukan skuba Rejimen Gerak Khas (Komando) tidak jauh dari lokasi mangsa dilaporkan hilang pada jam 9.21 malam," katanya dalam satu kenyataan di sini pada malam Jumaat.

Difahamkan, mangsa yang merupakan anak kepada pegawai Penjara Sungai Udang ke kawasan pantai itu lebih kurang jam 4.30 petang bersama 14 pelajar dan dua orang guru sebelum dipercayai lemas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher mengesahkan kejadian itu dan mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!