Kerja-kerja awal pembinaan HSA 2 telah bermula
JOHOR BAHRU - Kelulusan terhadap kerja-kerja awalan bagi pembinaan Hospital Sultanah Aminah (HSA) 2 yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada Jumaat, dilihat sebagai satu berita baik kepada rakyat Johor.
Menurut Exco Kesihatan dan Kebudayaan Negeri, Ling Tian Soon, kelulusan tersebut dilihat selaras dengan hasrat rakyat di negeri ini yang mahukan pembinaan hospital baharu yang akan membantu mengurangkan kesesakan seperti di HSA sedia ada ketika ini.
Malah katanya, kelulusan tersebut secara keseluruhannya menunjukkan bahawa kerajaan mengambil berat untuk pembangunan serta sistem perubatan yang kondusif di Johor.
“Kerajaan telah meluluskan kerja-kerja awalan bagi pembinaan HSA2 yang bermaksud kerajaan telah meluluskan peruntukan kepada pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan JKR (Jabatan Kerja Raya).
“Kami juga akan bersama-sama berusaha menyediakan cadangan yang lebih jelas seperti kajian dalaman, rekabentuk, adakan perbincangan JKR, design, reka bentuk dan keperluan barulah ada kos yang lebih jelas,” katanya.
Tian Soon berkata demikian dalam satu sidang media, di sini, pada Jumaat.
Tambah Tian Soon, pada pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sebanyak RM41.2 bilion kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, jumlah itu tersebut nyata melebihi peruntukan RM36.3 bilion yang diterima pada 2023.
“Berdasarkan kepada jumlah peruntukan yang diterima, bermakna kami akan menerima peruntukan sebanyak RM5.5 bilion pada Belanjawan yang seterusnya.
“Lagi pun, selepas pandemik Covid-19, rakyat Malaysia masing-masing mengambil berat isu-isu kesihatan terutamanya yang melibatkan pembangunan fasiliti atau pun penyediaan aset-aset kesihatan.
Sementara itu, Tian Soon turut menyifatkan pembinaan sebuah Hospital Pengajian bagi Hospital Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Kota Tinggi dengan melibatkan kos berjumlah RM938 juta.
Malah katanya, biarpun berada di kawasan pantai Timur, Johor, namun kawasan seperti Mersing, Kota Tinggi, dilihat masih kekurangan fasiliti serta kakitangan perubatan.
“Kewujudan Hospital USIM ini nanti diharap memberikan banyak manfaat kepada orang ramai selain peruntukan sebanyak RM300 juta lagi akan ditunaikan bagi membaiki serta menaik taraf klinik-klinik kesihatan.
“Selain itu RM300 juta akan digunakan bagi membaiki dan menaik taraf klinik-klinik kesihatan yang daif manakala RM1 juta lagi akan digunakan bagi memperkenalkan sistem digital baharu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!