Op Tapis Khas: 340 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah
JOHOR BAHRU – [DIKEMAS KINI] Seramai 430 individu telah diperiksa dan 340 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dalam Op Tapis Khas, di sini yang dijalankan mulai 1 pagi Selasa hingga tengah malam Khamis.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, turut ditahan ialah seorang lelaki yang berstatus dikehendaki pihak polis.
Menurutnya, operasi tersebut digerakkan di seluruh kontinjen Johor melibatkan seramai 21 pegawai dan 174 anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri.
“Dalam Op berkenaan, polis turut merampas 166.90 gram dadah jenis syabu, heroin (75.74 gram), ganja (59.52 gram), pil erimin 5 (sebiji), daun ketum (5,500 gram) dan air ketum 10.80 air liter dan kesemua barangan berkenaan jika terlepas ke pasaran boleh digunakan oleh 1,873 penagih,” katanya.
Seramai 17 yang ditangkap akan diambil tindakan bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala (31) suspek akan diambil tindakan bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya, Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).
Polis turut menyita tujuh kenderaan serta wang tunai berjumlah RM82,980.
Tambah Kamarul Zaman, seramai 118 individu telah ditahan mulai 1 Januari hinga Khamis lalu.
Katanya, kesemua suspek turut dikenakan perintah tahanan dan sekatan selama dua tahun di pusat pemulihan akhlak selain seramai 552 orang turut diambil tindakan.
“Polis Johor khususnya JSJN secara agresif akan mengambil tindakan dalam memerangi najis dadah dan untuk rekod, tindakan pencegahan di bawah ADB Polis Johor JSJN,” katanya.
Sementara itu Kamarul Zaman berkata, sepanjang OP Tapis Khas bermula Januari lalu itu, pihak JSJN Johor telah menahan 13,692 individu atas pelbagai kesalahan jenayah termasuk memiliki.
“Keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM32.86 juta, turut disita harta bernilai RM12.13 juta,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!