Shukor nilai tambah buat Harimau Muda
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) yakin dengan kemampuan Shukor Adan selepas melantik bekas pemain kebangsaan itu sebagai penolong jurulatih skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara.
Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donell berkata, Shukor akan menjadi satu nilai tambah yang amat baik kepada Harimau Muda dalam melakukan persiapan ke Piala Asia B-23 2024 di Qatar, April depan.
Malah, O'Donell juga mengakui mendapat pandangan daripada bekas jurulatih KL City, Bojan Hodak memberikan penarafan tinggi kepada Shukor yang ketika ini masih sebahagian daripada staf kejurulatihan skuad ibu kota itu.
“Saya pertama kali bertemu Shukor ketika kami melakukan post mortem terhadap skuad negara pada Piala AFF lalu. Saya juga bercakap dengan Bojan mengenai kenapa dia bawa Shukor ke KL City.
“Perbincangan dengan Bojan memperlihatkan bahawa dia memberikan pandangan yang tinggi buat Shukor dan merupakan penolong jurulatih yang sesuai untuk skuad Harimau Muda.
“Kami percaya Shukor akan menjadi nilai tambah yang baik kepada pasukan negara dan akan dapat membantu barisan kejurulatihan,” katanya pada Khamis.
Sebelum ini, FAM menaikkan pangkat Juan Torres Garrido sebagai pengendali baharu skuad B-23 dan tempatnya sebelum ini sebagai pembantu jurulatih akan diisi oleh Shukor.
Bagaimanapun, Shukor hanya secara rasmi akan memegang jawatan tersebut selepas kontraknya sebagai penolong jurulatih pasukan Liga Super, Kuala Lumpur City FC ketika ini berakhir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!