Garrido sedia pacu Harimau Muda
PENGENDALI baharu Harimau Muda, Juan Torres Garrido sudah bersedia untuk berdepan cabaran mengemudi skuad bawah 23 tahun (B-23) negara dalam tugasan pertamanya di Piala Asia B-23 2024 di Qatar, April depan.
Menurut Garrido, dia juga sudah memulakan perancangan bersama skuad muda negara itu dan akan menilai dengan lebih jelas semasa kem latihan pusat pada November nanti.
Dalam masa sama, pengendali kelahiran Sepanyol itu juga memahami hasrat peribadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang mahu melihat Harimau Muda mara ke Sukan Olimpik Paris 2024.
“Bagi saya, ia satu motivasi (harapan untuk layak ke Sukan Olimpik Paris), tetapi kami perlu pergi selangkah demi selangkah dan permainan demi permainan kerana itulah cara kami membuat persediaan untuk perlawanan pertama dan itulah cara pemikiran kami.
“Langkah pertama dilakukan untuk pertandingan seterusnya dan B-23 akan terus menjadi platform untuk ke pasukan senior, ini tidak akan berubah.
“Saya berbesar hati dan teruja untuk peluang ini, saya telah berada di sini selama kira-kira setahun, saya lebih mengenali mereka dan juga memberi tumpuan kepada pertandingan seterusnya (Piala Asia) yang penting untuk kami dan FAM,” katanya pada Khamis.
Saingan Piala Asia B-23 memberikan slot untuk ke Sukan Olimpik 2024 bagi tiga pasukan terbaik sementara pasukan keempat terbaik akan mengharungi aksi play-off menentang pasukan dari Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF).
Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, badan induk bola sepak negara itu menyerahkan sepenuhnya kepada Garrido untuk melakukan perancangan terhadap skuad Harimau Muda.
"Setakat ini belum ada perancangan lagi. Pelantikan Juan Torres bermakna bermula tugasnya bersama Harimau Muda.
"Ia juga menandakan bermulanya perancangan yang akan dilakukan oleh Juan Torres bersama barisan kejurulatihannya," katanya.
Sebelum ini, Garrido merupakan penolong jurulatih B-23 kepada E Elavarasan yang melepaskan jawatannya pada 18 September lalu untuk kembali fokus kepada tugasan asalnya sebagai penolong ketua jurulatih kebangsaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!