Ikon Rahmah 2019 kongsi formula tangani Islamofobia

Abdul Munim program Reboot Harmony Talk Series: Soul Of Compassion di Kumpulan Media Karangkraf di sini semalam. - FOTO MOHD IZARI ROSLI
Abdul Munim program Reboot Harmony Talk Series: Soul Of Compassion di Kumpulan Media Karangkraf di sini semalam. - FOTO MOHD IZARI ROSLI
A
A
A

SHAH ALAM - Umat Islam di Malaysia mampu menjadi contoh kepada dunia dengan terlebih dahulu mempromosi keindahan agama Islam kepada jiran tetangga bukan beragama Islam sepanjang masa.

Ikon Rahmah 2019, Dr Abdul Munim Sombat Jitmoud dari St Louis Missouri, Amerika Syarikat berkata, masyarakat bukan Islam akan kurang berdepan masalah Islamofobia sekiranya umat Islam berterusan mengamalkan pendekatan dakwah secara rahmah.

Mengambil contoh pendekatannya membantu menyiram, memotong rumput dan menyapu daun-daun di persekitaran rumah jirannya yang bukan beragama Islam bersama anak-anaknya, Dr Abdul Munim menekankan kepentingan penghayatan hadis Rasulullah SAW sebagai pegangan hidup.

"Sejak lebih 40 tahun dahulu, kami berpindah rumah dan tinggal bersama jiran-jiran bukan Islam. Sepanjang masa, saya sentiasa mengajar anak-anak supaya mengamalkan salah satu hadis Rasulullah yang bersabda 'jiran juga mempunyai hak ke atas kamu'.

"Syukur Alhamdulillah, anak-anak saya secara sukarela turut membantu menyiram pokok, memotong rumput dan menyapu dedaunan berguguran di kawasan rumah jiran-jiran bukan Islam.

"Hasilnya mereka kagum dengan tindakan kami dan selepas itu lebih tertarik hendak mengenali agama Islam," katanya pada program Reboot Harmony Talk Series: Soul Of Compassion anjuran bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Sinar Harian di bangunan Kumpulan Media Karangkraf di sini semalam.

Program diacarakan Coach Ridz turut dihadiri Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dan Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Marhaini Yusoff.

Artikel Berkaitan:

Abdul Munim (kiri) pada program Reboot Harmony Talk Series: Soul Of Compassion yang dikendalikan Coach Ridz (kanan) di Kumpulan Media Karangkraf di sini semalam. - FOTO MOHD IZARI ROSLI
Abdul Munim (kiri) pada program Reboot Harmony Talk Series: Soul Of Compassion yang dikendalikan Coach Ridz (kanan) di Kumpulan Media Karangkraf di sini semalam. - FOTO MOHD IZARI ROSLI

Mengenai tindakan luar biasa, Dr Abdul Munim memaafkan dan memeluk pembunuh anaknya, Trey Relford, 24, di depan semua orang di Mahkamah Kentucky, Amerika Syarikat pada dua tahun lalu, beliau menegaskan keputusan itu didorong semangat untuk menyelamatkan orang lain dan Relford sendiri.

Bagaimanapun, beliau mendedahkan anak bongsunya, Nuruddin nyaris-nyaris enggan memaafkan Relford memandangkan beliau paling rapat dengan Allahyarham Salahuddin Ayub, anak kelimanya yang dibunuh.

"Saya segera berdoa kepada ALLAH SWT agar dilembutkan hatinya kerana saya rasa jika tidak ajak Nuruddin memaafkan pembunuh abangnya, saya ayah yang gagal.

"Namun kuasa ALLAH pada hari penghakiman, ALLAH SWT mengatur pertemuan saya dengan pembunuh anak saya, berkesempatan memaafkan dan memeluk Relford sehingga akhirnya menggerakkan hati Nuruddin untuk turut memaafkan lelaki itu," katanya.

Terdahulu, Dr Abdul Munim mencetuskan kejutan di seluruh dunia apabila memaafkan dan memeluk seorang lelaki dituduh terlibat dalam pembunuhan anaknya, Salahuddin Ayub di Amerika Syarikat dua tahun lalu.

Pada akhir ucapannya, Dr Munim mengejutkan mahkamah apabila dia berpaling kepada pembunuh Salahuddin dan berkata dia tidak menyalahkan Relford atas tragedi yang berlaku.

Tindakan luar biasa dilakukan Dr Abdul Munim di dalam Mahkamah Kentucky, Amerika Syarikat itu mengundang sebak semua individu berada dalam kamar perbicaraan termasuk hakim.

Baru-baru ini, Dr Abdul Munim dipilih sebagai Ikon Rahmah atas sikap belas kasihan beliau yang telah menjadi contoh kepada masyarakat dunia.

Anugerah yang julung kali diadakan itu disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dalam satu majlis ringkas di Kompleks Islam Putrajaya.

Abdul-Munim yang memiliki kerakyatan Amerika Syarikat dan berasal dari Thailand, kini berada di Malaysia bagi memenuhi jemputan untuk menyampaikan ceramah di beberapa institusi termasuk di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!