Perajurit Muda Udara Terbaik mahu sertai Paskau
IPOH - Sebaik berjaya menyertai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Muhammad Hidayat Mohd Latiff, 20, bertekad mahu menyertai pasukan elit Pasukan Khas Udara (Paskau).
Berbekalkan dengan kata-kata semangat daripada kedua ibu bapa, anak jati Sungai Petani, Kedah itu cuba melakukan yang terbaik sekali gus berjaya dianugerahkan sebagai Perajurit Muda Udara Terbaik Keseluruhan Siri 61/2019 pada Isitiadat Perbarisan Tamat Latihan di Akademi Tentera Udara di sini semalam.
Muhammad Hidayat berkata, dia tidak meletakkan sebarang sasaran ketika menjalani latihan tidak menyangka menerima anugerah yang disampaikan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
“Saya anak ketiga daripada empat adik-beradik mengikut jejak abang sulung yang berkhidmat di Tentera Darat. Kerana minat terhadap Paskau, saya meletakkan sasaran untuk terus bertahan.
“Latihan yang kami jalani sangat sukar terutama di dalam hutan tetapi dengan kerjasama berpasukan terutama Flait Charlie, kami berjaya mengharunginya bersama dengan bimbingan jurulatih,” katanya yang akan ditempatkan di Rejimen Jugra, Banting, Selangor.
Sementara itu, Ahmad Luqman Hakim Kamaruzzaman, 22, menerima anugerah Perajurit Muda Udara Akademik Terbaik manakala, Muhammad Haffiz Mohd Rodzi, 23, pula dianugerahkan Perajurit Muda Udara Penembak terbaik.
Kedua-dua mereka akan ditempatkan di Institut Teknologi Aerospace, Kolej Tentera Udara, Alor Setar, Kedah.
Seramai 283 perajurit muda berjaya menamatkan Latihan Perajurit Muda Udara selepas menjalani latihan selama 22 minggu sejak 29 Jun lalu.
Affendi ketika berucap mengingatkan semua perajurit sentiasa mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan kepakaran dalam memperkasakan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Perajurit Muda diingatkan sentiasa memelihara disiplin diri, imej dan nama baik perkhidmatan dengan tidak melanggar etika, peraturan dan undang-undang ATM (Angkatan Tentera Malaysia) serta negara.
“Perajurit juga diingatkan untuk menggunakan laman sosial secara berhemah serta mematuhi arahan dan peraturan semasa. Ia penting dalam memastikan perajurit tidak menyalahgunakan media sosial yang mampu memudaratkan diri sendiri dan perkhidmatan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!