KKD kenal pasti syarikat permainan video berpotensi bertapak di Malaysia
KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) telah mengenal pasti beberapa syarikat permainan video antarabangsa yang berpotensi untuk bertapak di negara ini sekali gus menjadikan Malaysia sebagai ‘Gaming Hub’ di rantau Asia Tenggara.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, peruntukan RM30 juta dalam Belanjawan 2024 bagi mempromosi Malaysia sebagai hab pembangunan industri e-sukan diharap mempercepatkan proses syarikat permainan video Korea Selatan, NX3 Games yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk melebarkan sayapnya ke negara ini, tahun depan.
"Ini sudah pasti akan menjadi game-changer (pengubah keadaan) kerana bagi KKD khususnya MDEC (Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia), kita lihat pulangan syarikat permainan ini kepada negara, adalah besar dan ia jangka masa panjang.
"Saya percaya dengan inisiatif ini, lagi banyak syarikat antarabangsa dapat bertapak di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Sukan Negara peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini pada Sabtu.
Pada Jumaat, ketika membentangkan Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM30 juta untuk menggalakkan syarikat atau studio permainan video antarabangsa melabur di Malaysia dalam pembangunan produk digital mereka bersama-sama bakat tempatan.
Sebelum ini, NX3 Games yang memfokuskan penerbitan permainan, penyelidikan dan pembangunan serta rekaan kandungan, menyasar membuka ibu pejabat wilayah mereka di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Fahmi juga yakin peruntukan RM90 juta bawah inisiatif Insentif Penerbitan Filem Di Malaysia (FIMI) akan membantu studio perfileman di negara ini selain menjadikan Malaysia sebagai destinasi penggambaran filem-filem antarabangsa.
"Sebelum pandemik Covid-19, kita menyaksikan banyak syarikat perfileman datang ke Malaysia untuk membuat penggambaran tetapi akibat pandemik, ada kesan termasuk kepada beberapa studio besar seperti Iskandar Malaysia Studios Sdn Bhd,” katanya.
Anwar mengumumkan RM90 juta diperuntuk di bawah inisiatif FIMI untuk terus menggalakkan penghasilan filem bertaraf antarabangsa dan RM10 juta bagi menyediakan Skim Dana Padanan MyCreative dalam usaha menyokong anak-anak seni menghasilkan projek kreatif.
Fahmi juga berkata, peruntukan bagi KKD secara purata dalam Belanjawan 2024 meningkat RM400 juta berbanding 2023 dan menyifatkan peruntukan sebanyak RM2.85 bilion sebagai jumlah besar yang akan memberikan pulangan baik kepada rakyat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!