Belanjawan 2024: KPM pastikan agenda dilaksana penuh tanggungjawab
KANGAR - Kementerian Pendidikan (KPM) yang mendapat peruntukan terbesar menerusi Belanjawan 2024 Malaysia Madani, komited untuk memastikan agenda dalam belanjawan itu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya menyambut peruntukan keseluruhan sebanyak RM58.7 bilion itu dalam perspektif yang dirasakan sebagai perjuangan untuk pendidikan manusiawi selama ini.
"Alhamdulillah KPM masih lagi menjadi kementerian menerima peruntukan terbesar...paling penting dalam konteks dasar adalah jelajah pendidikan masa depan negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Perlis 2023 di sini pada Sabtu.
Pada Jumaat, media melaporkan yang pendidikan kekal sebagai komponen utama menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2024 Malaysia Madani apabila RM58.7 bilion diperuntukkan kepada KPM berbanding RM55.2 bilion pada 2023.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejumlah RM1.9 bilion disediakan untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah di seluruh negara.
Selain itu, sebanyak 26 sekolah baharu akan mula dibina dengan kos keseluruhan projek RM2.5 bilion termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laya-Laya, Tuaran Sabah; SMK Baie, Bintulu, (Sarawak); SMK Seri Melati, Kuantan (Pahang); SMK Bandar Universiti, Bandar Seri Iskandar (Perak) dan SMK Binjai, Kota Bharu (Kelantan).
Selain itu, 18 blok baharu Pendidikan Khas akan dibina dengan peruntukan RM180 juta melibatkan SMK Kubang Rotan, Kedah; Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Perda (Pulau Pinang) dan SMK Dato Ali Ahmad (Perlis) dalam usaha memperkasa dan melindungi kesejahteraan murid berkeperluan khas.
Fadhlina berkata, pembinaan 26 sekolah baharu yang diumumkan perdana menteri dalam belanjawan itu merupakan peruntukan terbesar pernah diterima oleh KPM.
Belanjawan 2024: KPKT tekad jayakan agenda daya huni rakyat ke arah capai Ekonomi Madani
Dalam pada itu, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) yakin pendekatan reformis dalam Belanjawan 2024 akan memberi manfaat kepada semua.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, Belanjawan 2024 yang reformis, progresif dan mesra rakyat memberikan mandat kepada KPKT untuk terus mengukuhkan agenda kesejahteraan rakyat dalam sektor perumahan, perkhidmatan kebombaan, komuniti dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
"Belanjawan 2024 bukan pendekatan biasa dengan hanya menyediakan peruntukan untuk kementerian tetapi merangkumi Reformasi Dasar yang amat diperlukan oleh rakyat Malaysia pada saat ini," katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, Belanjawan 2024 jelas menunjukkan kerajaan serius untuk memajukan negara selain menjadi bukti keprihatinan terhadap cabaran yang dihadapi rakyat dalam membina masa depan lebih baik.
Beliau berkata, belanjawan ini mampu menyokong KPKT untuk terus melaksanakan tujuh bidang fokus utama merangkumi aspek perancangan rumah, peranan kerajaan tempatan, pemerkasaan komuniti, kemampanan bandar, pengurusan sisa pepejal serta perkhidmatan kebombaan demi kesejahteraan rakyat.
Kerajaan memperuntukkan RM5.647 bilion untuk KPKT dalam Belanjawan 2024 berbanding RM5.409 bilion tahun lepas, peningkatan sebanyak RM238 juta.
Menurut KPKT, belanjawan ini juga mendukung wawasan Ekonomi Madani untuk mengangkat semula darjat dan martabat negara dengan menstruktur semula ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Belanjawan 2024 terus memberi tumpuan kepada agenda daya huni dengan menekankan 15 inisiatif melibatkan KPKT antaranya penyelenggaraan dan pembaikan tandas awam, lampu jalan serta parit dan longkang rosak bagi mengurangkan risiko banjir kilat.
KPKT juga memaklumkan, Belanjawan 2024 jelas menunjukkan bahawa kerajaan serius untuk meletakkan semula Malaysia di landasan yang betul supaya negara boleh bergerak maju ke hadapan.
"Pembaharuan dalam Belanjawan 2024 ini juga adalah bukti keprihatinan kerajaan terhadap cabaran yang dihadapi rakyat dalam membina masa depan yang lebih baik untuk Malaysia,” katanya.
Wisma Putra sokong hasrat Belanjawan 2024 tingkat semula kedudukan Malaysia di persada antarabangsa
Kementerian Luar (Wisma Putra) menyokong penuh hasrat Belanjawan 2024 untuk meningkatkan semula kedudukan dan martabat Malaysia di persada antarabangsa.
Wisma Putra dalam kenyataan pada Sabtu berkata, secara keseluruhannya, Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat memperuntukkan RM1.127 bilion untuk Kementerian Luar, berbanding RM971.1 juta pada 2023.
"Belanjawan ini membolehkan kementerian mempromosikan keamanan serantau, mengangkat isu antarabangsa yang berkepentingan dan memperluas peranan dan pengaruh Malaysia melalui penglibatan aktif di platform antarabangs," katanya.
Wisma Putra juga bertekad untuk terus mengukuhkan penyampaian perkhidmatan konsular kepada rakyat Malaysia, termasuk dengan meningkatkan penggunaan aplikasi digital dan teknologi ICT dan memperluas pemberian bantuan kemanusiaan kepada rakyat Malaysia yang ditimpa musibah atau terkandas di luar negara.
Daripada jumlah itu, RM916.9 juta merupakan belanja mengurus, iaitu peningkatan sebanyak
13.25 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala belanja pembangunan sebanyak RM209.8 juta iaitu peningkatan sebanyak 29.86 peratus.
Peruntukan 2024 juga akan dimanfaatkan bagi menaik taraf infrastruktur di Kementerian Luar dan Perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negara, menambah baik kebajikan penjawat awam dan memperkasakan modal insan kementerian.
Dalam hal ini, menurut kenyataan itu peruntukan besar berjumlah RM10 juta yang buat julung kali disediakan di bawah Kumpulan Wang Amanah Rakyat Malaysia Luar Negeri, adalah penting bagi kementerian membela nasib rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan dan kes-kes kebajikan lain di luar negara.
Wisma Putra turut merakamkan penghargaan atas keprihatinan Perdana Menteri meningkatkan keupayaan kementerian dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia.
"Di samping itu, sokongan padu kerajaan turut membolehkan Kementerian Luar memberi sumbangan yang lebih bermakna dalam sektor ekonomi dan pembangunan negara dan mengembalikan imej cemerlang Malaysia di mata dunia," kata Wisma Putra.
Peruntukan RM10 juta hadapi konflik hidupan liar beri kelegaan kepada pekebun
Dalam pada itu, pengumuman kerajaan akan menyalurkan bantuan kepada rakyat yang menanggung kerugian akibat terlibat dengan konflik hidupan liar memberi kelegaan kepada mereka yang terkesan di daerah ini.
Pekebun Zahari Daud, 53, dari Jalan Subong, Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah berkata, langkah itu amat bermakna kepada mereka yang telah kehabisan modal setelah tanaman musnah.
"Pekebun mengalami banyak kerugian akibat tanaman dimusnahkan hidupan liar.
"Semoga peruntukan tersebut dapat membantu pekebun-pekebun yang terkesan dengan ancaman gajah liar terutamanya untuk meneruskan aktiviti mereka kerana ada antara mereka telah kehabisan modal kerana kebun telah berkali-kali menjadi korban gajah liar,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Bagi pekebun dari Kampung Awek, Ismail Awang Hamad, 60, pula berkata, beliau gembira akhirnya kerajaan mendengar rintihan dan keluhan para pekebun kecil yang sekian lama menanggung kerugian akibat konflik hidupan liar dan pekebun.
"Semoga berita ini dapat menyuntik semangat rakan-rakan pekebun lain yang berdepan dengan kerugian ribuan ringgit angkara kebun diceroboh gajah liar di sini,” katanya.
Pada Jumaat, Anwar semasa membentangkan Belanjawan 2024 mengumumkan sejumlah RM10 juta disediakan bagi membantu meringankan beban kerugian yang ditanggung oleh rakyat yang terlibat dengan konflik hidupan liar.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, ia susulan bagi tempoh 2018 hingga 2022 lebih 46,000 aduan dilaporkan melibatkan konflik hidupan liar seperti gajah, harimau dan tapir yang merosakkan harta benda dan tanaman pertanian dengan nilai kerugian dianggarkan RM43 juta. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!