Lebih RM200 juta untuk Perkeso laksana 6 inisiatif - Sivakumar

A
A
A

Sivakumar
Sivakumar

SHAH ALAM - Kerajaan telah memperuntukkan lebih RM200 juta kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk memperkasa jaringan perlindungan sosial dan memacu pasaran buruh, selari usaha kerajaan Persekutuan ke arah agenda reformasi struktur.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, peruntukan berkenaan meliputi pelaksanaan enam inisiatif termasuk pengenalan dua inisiatif baharu.

“Inisiatif baharu itu ialah memudahkan integrasi kumpulan sasaran ke sektor awam dan peningkatan siling gaji diinsuranskan dari RM5,000 ke paras baharu iaitu RM6,000 untuk Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) serta Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

“Kenaikan siling gaji diinsuranskan ke paras baharu ini akan berkuat kuasa selepas pindaan terhadap kedua-dua peruntukan akta berkenaan, dijangka meningkatkan faedah tunai sebanyak 20.2 peratus bagi 1.45 juta pekerja dan orang tanggungan jika ditimpa bencana kerja, keilatan, kematian atau kehilangan pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kerajaan memperuntukkan RM393.8 bilion bagi Belanjawan 2024, tertinggi pernah dibentangkan merangkumi RM303.8 bilion untuk belanja mengurus, RM90 bilion bagi pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, belanjawan bertemakan 'Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat' itu adalah dasar penting dan menyeluruh, selain memacu pertumbuhan ekonomi serta membela rakyat.

Mengulas lanjut, Sivakumar memaklumkan, kedua-dua inisiatif baharu itu diyakini menjadi pemangkin sinergi keselamatan sosial, selain mewujudkan persekitaran pasaran buruh yang menepati prinsip kesaksamaan dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, tekad kerajaan dalam memaknai keutuhan perlindungan sosial rakyat juga dicerminkan menerusi penambahbaikan dua inisiatif sedia ada yang dilanjutkan.

No Image Caption

“Iaitu geran padanan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dengan peruntukan RM100 juta dan tanggungan kerajaan dinaikkan kepada 90 peratus berbanding 80 peratus sebelum ini serta pembiayaan caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) menerusi peruntukan RM50 juta.

“Dua lagi inisiatif yang turut dilanjutkan adalah Program Latihan Bina Kerjaya (RM35 juta) dan skim sokongan pekerjaan di sektor swasta (RM30 juta), dengan tiga golongan sasar digariskan iaitu orang kelainan upaya (OKU), bekas banduan dan warga emas,” katanya.

No Image Caption

Tambah beliau lagi, dasar pengambilan pekerja OKU sebanyak satu peratus akan diperluaskan kepada golongan bekas banduan dan warga emas untuk dilaksanakan di pelbagai Kementerian, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta rakan strategik kerajaan.

Jelasnya, pemerkasaan dasar itu akan disokong menerusi peranan pegawai perkhidmatan pekerja Perkeso dan platform portal perkhidmatan pekerjaan negara MYFutureJobs yang dilengkapi dengan kebolehan ‘Artificial Intelligent’.

No Image Caption

“Ini kerana ia dapat memastikan pemadanan pekerjaan yang cekap serta bersesuaian dengan golongan ini seterusnya mengurangkan tempoh penempatan pekerjaan bagi golongan tersebut,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!