RM25 juta untuk PEDi bantu tingkat pendapatan, perkasa usahawan

Mohamad Salim
Mohamad Salim
A
A
A

SHAH ALAM - Peruntukan sebanyak RM25 juta bagi memperkasa Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) diyakini dapat meningkatkan penjanaan pendapatan dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, peruntukan itu secara tidak langsung dapat membantu memperkasa golongan usahawan untuk meningkatkan tahap sosioekonomi.

“Bukan itu sahaja, ia juga berupaya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital negara.

“Ketika ini, terdapat 911 kemudahan PEDi yang beroperasi sebagai satu platform sehenti untuk berkhidmat kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kerajaan memperuntukkan RM393.8 bilion bagi Belanjawan 2024, tertinggi pernah dibentangkan merangkumi RM303.8 bilion untuk belanja mengurus, RM90 bilion bagi pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, belanjawan bertemakan 'Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat' itu adalah dasar penting dan menyeluruh, selain memacu pertumbuhan ekonomi serta membela rakyat.

Dalam pada itu, Mohamad Salim berkata, MCMC turut menyokong kerajaan dalam memperkasa fungsi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

Ujarnya, menerusi pertambahan peruntukan kepada RM20 juta akan meningkatkan lagi fungsi NSRC membanteras jenayah penipuan dalam talian atau scam.

Artikel Berkaitan:

“MCMC juga sentiasa mempergiatkan usaha meningkatkan kesedaran berhubung jenayah scam. Sehubungan itu, keterlibatan MCMC dalam NSRC adalah penting bagi membangunkan masyarakat berpengetahuan dalam dunia siber,” katanya.

Tambah beliau lagi, MCMC mengalu-alukan peruntukan besar berjumlah RM100 juta daripada kerajaan ke arah memupuk penggunaan pendigitalan dalam kalangan 20,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Jelasnya, usaha itu menandakan satu langkah ke arah meningkatkan kualiti perniagaan untuk setiap PMKS memperluaskan perniagaan ke arah model perniagaan digital.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!