Tengku Zafrul presiden baharu BAM
MENTERI Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah dipilih secara sebulat suara untuk menerajui Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.
BAM dalam satu hantaran di platform X berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Ahli Majlis BAM yang berlangsung pada Sabtu.
"Mesyuarat sudah bersetuju untuk memilih YB Mulia Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai presiden baharu BAM menggantikan Tan Sri Mohamad Norza.
"Butiran terperinci akan dibincangkan secara dalaman dan diumumkan pada mesyuarat majlis seterusnya pada Disember 2023,"kata badan induk itu.
Sebelum ini, Mohamad Norza membuat keputusan mengejut apabila mengumumkan akan melepaskan jawatan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada hujung tahun ini.
Dalam mesyuarat yang sama juga, BAM telah mengumumkan pelantikan bekas pemain Indonesia, Jeffer Rosobin sebagai ketua skuad remaja menggantikan Datuk Misbun Sidek.
"Majlis BAM mengalu-alukan pelantikan Jeffer Rosobin sebagai ketua skuad remaja yang baharu.
"Jeffer, bekas pemain yang memenangi kejuaraan Kejohanan Asia pada 1996 dan memainkan peranan penting dalam memenangi pingat emas Indonesia di Sukan SEA pada 1999 akan mengetuai skuad remaja dan akan melaporkan diri kepada Rexy Mainaky," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!