Kepimpinan Abrar ambil pengajaran dari surah Al-Insan
SUBANG JAYA - Pemimpin yang baik mempunyai kerangka fikir manusia adalah hamba ALLAH di dalam membina kepimpinan Abrar.Nazir Masjid Al-Falah USJ 9, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, selain ikhlas, seorang yang bergelar pemimpin itu perlu mengambil peringatan dan pengajaran daripada al-Quran.
Menurutnya, perkara itu jelas diperkatakan menerusi surah Al-Insan dan surah Al-Fatihah di mana orang yang berbuat kebaikan mampu memimpin diri, keluarga, organisasi dan negara ke jalan yang diredai ALLAH SWT.“Tugas pemimpin di dalam sebuah syarikat adalah untuk memberi pendedahan dan peringatan supaya kakitangan menunaikan ibadah wajib.
“Malah sebagai sebagai ketua di dalam syarikat, tanggungjawab kita termasuklah menyediakan kemudahan untuk kakitangan beribadat, bersembahyang kerana itu adalah kewajipan yang hakiki yang dituntut oleh agama,” katanya.Beliau berkata demikian pada Al-Falah #QuranHour sempena Karnival Maulidur Rasul yang bertema ‘Rasulullah Always In My Heart’ di Masjid Al-Falah USJ 9 di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub.Mengulas lanjut mengenai program itu, Syed Zainal berkata, penganjuran Karnival Maulidur Rasul bertujuan memberi kesedaran kepada jemaah tentang kepentingan membaca al-Quran sebagai panduan kehidupan dan mencontohi akhlak Rasulullah SAW.
“Kita berharap acara tersebut diadakan sebagai program tahunan agar lebih ramai jemaah termasuk golongan profesional boleh mendekati masjid dan berkongsi ilmu," katanya.Tambahnya, dengan berkolaborasi pihak Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Masjid Al-Falah sebagai peneraju legasi kepimpinannya mampu mempromosikan kepimpinan Islam ke peringkat lebih tinggi pada masa akan datang.
Sesi Al-Falah #QuranHour tersebut dimulakan dengan bacaan al-Quran yang dibimbing oleh Qari Ustaz Mohd Faizan Tajuid dan Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman.Sesi tadabbur disampaikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik, Fazrul Ismail, Ustaz Shamsul Hakim dan dihoskan oleh Ustaz Khairul Haffiz Abd Halim.
Warga emas usia 80 tahun hadir Al-Falah #QuranHour
Seorang warga emas berusia 80 tahun turut hadir menyertai Al-Falah #QuranHour anjuran Masjid Al-Falah USJ 9 bersama WUIF di USJ 9 di sini pada Sabtu.Maimunah Abdullah berkata, majlis ilmu seperti ini sangat bagus dan ia mampu menarik penyertaan golongan muda untuk mengikutinya.
“Masa muda dulu saya tiada masa nak belajar agama, bila dah lanjut usia macam ini barulah diberi kesempatan untuk beribadah di masjid, dengar kuliah dan mengikuti kelas bacaan al-Quran.“Saya duduk rumah seorang diri, tidak buat apa-apa. Jadi, lebih baik saya ikut program seperti ini, ada juga kawan dan tidak bosan duduk di rumah saja,” katanya yang lebih mesra dengan panggilan Cik Som.
Sementara itu, pekerja swasta, Muhammad Ali, 34, yang hadir bersama isteri dan lima anaknya berkata, budaya membaca al-Quran perlu diterapkan bermula daripada usia muda agar terus menjadi panduan hidup terutamanya kepada golongan kanak-kanak pada masa depan.
“Sebelum ini, kami hanya menonton QuranHour di kaca televisyen, jadi bila ada kesempatan cuti hari ini, saya bawa semua ahli keluarga untuk merasai pengalaman berada di majlis ilmu yang besar.“Saya harap agar pihak masjid dapat memperbanyakkan lagi program ilmu di kawasan perumahan seperti di Subang Jaya ini kerana ia boleh menjadi medan kepada ahli kariah mendekat diri dengan masjid pada masa yang sama dapat membentuk diri dan ahli keluarga ke jalan yang diredai ALLAH SWT,” jelasnya.
Program berkenaan diadakan bersempena dengan Maulidur Rasul dan sambutan Jubli Perak masjid berkenaan di dalam usaha mengumpul dana sebanyak RM3 juta bagi projek pembangunan kemudahan masjid, khususnya pembinaan kompleks tiga tingkat untuk kegunaan pegawai masjid, rumah tamu dan kafe.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!