Malaysia perlu boikot Pesta Buku Frankfurt
SHAH ALAM - Tindakan penganjur Pesta Buku Frankfurt yang menyatakan sokongan terbuka dan bersolidariti terhadap Israel mengundang reaksi daripada persatuan penerbit buku di beberapa negara. Kenyataan Pengarah Frankfurter Buchmesse, Juergen Boos yang mahu menjadikan suara Yahudi dan Israel kelihatan terutamanya di pesta buku nyata mengundang rasa kurang senang banyak pihak.
Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, Malaysia harus mengambil tindakan tegas dengan memboikotnya.
“Malaysia juga harus boikot Pesta Buku Frankfurt Book sebagai tanda protes kepada pendirian pihak penganjur. Pesta buku seharusnya neutral,” katanya.
Persatuan Penerbit Emirates juga telah memutuskan untuk menarik balik penyertaan mereka dalam pesta buku itu. Dalam satu kenyataan, persatuan itu menegaskan, mereka memperjuangkan peranan budaya dan buku untuk menggalakkan dialog dan persefahaman antara orang ramai.
Malah, mereka percaya bahawa peranan itu lebih penting sekarang, berbanding sebelum ini.
Persatuan Penerbit Arab juga senada dan memohon masyarakat antarabangsa supaya tidak berdiam diri dan campur tangan untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di Gaza.
“Kami menyeru para pemimpin dalam komuniti penerbitan dan masyarakat sivil untuk mengekalkan sikap berkecuali, adil serta mengelak daripada memandang sebelah mata terhadap krisis kewujudan ini,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!