Bayi dua bulan maut di taska, polis tahan pengasuh
PETALING JAYA - Seorang pengasuh ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes kematian seorang bayi perempuan berusia dua bulan di sebuah taska di Kota Damansara di sini pada Selasa lalu.Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, wanita warga asing berusia lewat 40-an itu ditahan selepas dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada jam 3 petang, Jumaat.
"Wanita itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis, selepas dirakam percakapan. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001."Pada masa ini, kita masih menunggu laporan penuh hasil bedah siasatan yang dijalankan terhadap bayi berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Pada Sabtu, media melaporkan bayi berkenaan maut dipercayai ketika berada di bawah jagaan pengasuh di sebuah taska.Difahamkan, kejadian itu menimpa Qaseh Aulia Faizul, pada hari kedua dia dihantar ke taska berkenaan.
Bapa mangsa, Faizul Ali Adam dilaporkan berkata, pada hari kejadian, dia menerima panggilan daripada pihak taska memberitahu Aulia tidak sedarkan diri dengan muka pucat kebiruan dan dibawa ke sebuah hospital.Dia kemudian segera ke hospital berkenaan, namun dimaklumkan anaknya sudah meninggal dunia.
Faizul kemudian membuat laporan polis selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di taska itu dan mendapati ada unsur kecuaian pengasuh dipercayai warga asing di premis berkenaan ketika menjaga anaknya yang dalam keadaan berbedung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!