Gerakan Pulangkan Najib sasar sejuta tandatangan
IPOH - Gerakan Pulangkan Najib mensasarkan untuk mengumpul sebanyak 1 juta tandatangan petisyen bagi membebaskan Datuk Seri Najib Razak untuk dipersembahkan ke Istana Negara.
Penyelarasnya, Muhammad Farhan Khairuddin berkata, usaha yang dimulakan sejak dua minggu lalu berjaya mengumpul lebih 120,000 tandatangan setakat ini.
"Dalam tempoh sehingga dua minggu nanti, saya fikir kita akan buat pecutan lagi kerana lebih 200 sukarelawan yang ada akan bergerak untuk kumpulkan tandatangan dan mengedar risalah.
Muhammad Shafee berucap pada program Dialog Bersama Rakyat Pulangkan Datuk Seri Najib di Ipoh.
"Dalam tempoh terdekat mungkin sebulan atau dua lagi kita kumpulkan tandatangan ini untuk diserahkan kepada pihak berwajib," katanya ketika ditemui pemberita pada program Dialog Bersama Rakyat Pulangkan Datuk Seri Najib bersama peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di Dewan Bulan Sabit Merah pada Sabtu.
Menurut beliau, gerakan itu akan diperluaskan ke Johor, Pahang, Kedah dan Pulau Pinang.
"Program ini merupakan siri kedua dilaksanakan secara fizikal kerana kita hendak dengar sendiri pendapat rakyat terhadap negara dan Najib.
"Petisyen ini dijalankan kerana memang ada keperluan mendesak dan rakyat mula faham proses kehakiman terhadap kes Najib," katanya.
Muhammad Farhan berkata, rakyat perlu faham bahawa gerakan itu tidak menyakitkan mana-mana pihak.
Sementara itu, aktivis politik, Datuk Hamidah Osman berkata, Gerakan Pulangkan Najib akan diteruskan sehingga bekas perdana menteri itu bebas.
"Petisyen ini akan dihantar terus ke Istana Negara kerana kita tahu segala proses yang diterangkan tadi, pengampunan ini adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja setiap negeri.
"Dalam soal ini, kita berada di landasan tepat dan saya yakin kalau ramai rakyat yang tampil ke depan, Yang di-Pertuan Agong akan melihat perkara ini secara serius," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!