Belanjawan 2024: Jamin kelangsungan industri Agromakanan negara
ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyambut baik Belanjawan Madani 2024 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menunjukkan keprihatinan Kerajaan Perpaduan dalam memperhebatkan usaha untuk menjamin kelangsungan industri agromakanan negara serta menjaga kebajikan pesawah.
Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, dalam Belanjawan 2024, Kerajaan Perpaduan telah memberi fokus kepada Projek Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh dua Tahun untuk memastikan peningkatan pengeluaran padi negara.
Menurutnya, sebanyak RM3 bilion diperuntukkan untuk menaik taraf infrastruktur pengairan di Kawasan Muda bagi tujuan tersebut.
"Pesawah MADA juga turut teruja dengan pengumuman harga lantai belian padi yang dinaikkan kepada RM1,300 per tan metrik daripada RM1,200 per tan metrik.
"Kali terakhir ia diselaraskan pada tahun 2014 dan dengan kenaikan harga lantai belian ini, ia secara tidak langsung ia dapat membantu meningkatkan pendapatan pesawah," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, pengumuman kenaikan harga lantai belian padi itu menunjukkan Kerajaan Perpaduan mendengar rungutan dan keluh kesah pesawah apabila harga belian padi diturunkan oleh pengilang.
"Pengumuman ini merupakan perkara yang sangat ditunggu-tunggu dan berita gembira oleh semua pesawah serta merupakan pelengkap kepada kenaikan RM500 Skim Subsidi Harga Padi yang telah diberikan oleh kerajaan di dalam sektor padi pada masa ini," ujarnya.
Tambahnya, selain itu, seramai 57,635 pesawah MADA juga akan menerima manfaat daripada Skim Takaful Tanaman Padi yang diperkenalkan oleh Kerajaan Perpaduan.
"Skim ini diperkenalkan untuk melindungi pesawah dari sebarang risiko bencana. Oleh itu, RM50 juta diperuntukan dibawah Tabung Bencana Pertanian bagi memberi pampasan kepada petani, penternak dan nelayan yang terkesan akibat bencana," katanya.
Jelasnya, Belanjawan 2024 menunjukkan komitmen kerajaan bagi mengekalkan momentum pengeluaran makanan dalam negara, khususnya tanaman padi yang juga komoditi tanaman makanan utama negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!