Siasat polis enggan terima laporan kemalangan
IPOH - Polis akan menjalankan siasatan terhadap dakwaan anggotanya enggan menerima laporan dibuat keluarga pelajar perempuan yang hampir dilanggar lori.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, perkara itu akan dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah terlibat.
"Pihak polis tidak pernah menolak sesiapa untuk membuat laporan, tidak kira di mana pun.
"Apa pun, saya akan dapatkan laporan daripada Ketua Polis Daerah Batu Gajah dahulu. Sebarang tindakan akan diambil jika didapati dakwaan itu benar," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Terdahulu tular di media sosial rakaman video memaparkan seorang pelajar perempuan nyaris dilanggar sebuah lori yang gagal berhenti ketika lampu isyarat bertukar merah di hadapan sebuah sekolah di Batu Gajah.
Bagaimanapun dikatakan anggota polis bertugas tidak mahu menerima laporan yang dibuat keluarga pelajar terbabit selain meminta saksi kejadian untuk tampil bagi mengenal pasti kenderaan terlibat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!