Polis Johor kutip saman RM1.23 juta dalam tiga hari
ISKANDAR PUTERI - Polis Johor menerima bayaran saman berjumlah RM1.23 juta bagi kutipan saman trafik sepanjang program Ramah Mesra PDRM Johor bersama Brothers Motor 3.0 berlangsung sejak 11 Oktober lalu.
Bagaimanapun menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, jumlah itu sebenarnya bukannya untuk dibanggakan kerana ia sebenarnya merupakan satu pengajaran agar tidak melakukan lagi kesalahan sama pada masa hadapan.
"Dalam tempoh tiga hari ini, (11-14 Oktober 2023), sejumlah RM1,233,700 telah kita kumpulan hasil kutipan saman bagi semua kesalahan.
"Saman ini dibayar ketika kita singgah di kesemua 13 lokasi di sepanjang program ini yang menempuh perjalanan sejauh 772 kilometer (km).
"Terima kasih kepada semua yang telah menyelesaikan pembayaran saman tersebut, dan diharap ia menjadi pengajaran kepada mereka selepas ini," katanya.
Kamarul Zaman berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Penutup Program Ramah Mesra PDRM Bersama Brothers Motor 3.0 Safety Ride di Lebuh Medini, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, M Kumar dan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Rahmat Ariffin.
Untuk rekod, program berkenaan yang bermula Khamis lalu melibatkan jarak perjalanan sejauh 772 Kilometer (km) selain turut singgah di 13 daerah di sekitar negeri.
Mengulas mengenai program berkenaan, Kamarul Zaman berkata, secara keseluruhannya program berkenaan bertujuan untuk menyantuni orang ramai khususnya golongan belia bermotosikal.
Katanya, selain itu, program berkenaan juga diharap dapat memberikan kesedaran kepada golong berkenaan selain meningkatkan pengetahuan mereka mengenai ciri-ciri keselamatan sebagai seorang penunggang motosikal.
"Program ini kita telah mulakan pada 2018 lalu dan kita akan teruskan dengan beberapa penambahbaikan pada masa hadapan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!